KUALA LUMPUR: Pengasas Les Copaque Production, Burhanuddin Md. Radzi menyambut baik inisiatif penggiat animasi tempatan yang semakin rancak menghasilkan karakter animasi baharu yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
katanya, animasi-animasi berkenaan selayaknya diketengahkan sebagai sebahagian usaha untuk menarik pelancong ke negara ini.
“Saya gembira kerana banyak karakter animasi tempatan yang kini diminati ramai.
“Persoalannya, sejauh ia dapat memberi nilai tambah atau tarikan untuk menjadi ikon kepada kempen Melawat Malaysia?
“Contoh, Upin Ipin yang sebelum ini membantu menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia ke Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Burhanuddin dalam pada itu tidak meletakkan harapan animasi yang dihasilkan syarikatnya terpilih sebagai ikon kempen Melawat Malaysia 2024.
Katanya, keputusan untuk mengetengahkan animasi tempatan sebagai sebahagian kempen menarik pelancong ke Malaysia terletak di tangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Jika dipelawa, baru kami boleh berbincang,” katanya.










