Malaysia mampu benam Jepun

Malaysia mampu benam Jepun

KASPYEN: SKUAD skuasy lelaki menewaskan Singapura 2-0 untuk berdepan Jepun pada aksi separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Dalian, China hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan skuasy lelaki dan wanita negara akan berentap dengan Jepun pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Dalian, China, hari ini.

Semalam, skuad lelaki yang dibarisi Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar, Ng Eain Yow dan C. Ameeshanraj mudah membenam Singapura 2-0 pada peringkat lapan terbaik.

Addeen yang diletakkan selaku perseorangan kedua terlebih dahulu masuk ke dalam gelanggang tidak berdepan masalah menewaskan Jerome Clement Aw 11-3, 11-5, 11-3 dalam masa 23 minit.

Pemain No. 13 dunia, Eain Yow memastikan kemenangan menjadi milik mutlak Malaysia selepas menyingkirkan Samuel Kang 11-7, 11-5, 11-2 dalam masa 24 minit, tanpa perlu pemain remaja, Ameeshanraj mengerah keringatnya untuk aksi ketiga.

Sementara itu, skuad wanita negara yang terlebih dahulu mara ke separuh akhir, kelmarin, melengkapkan aksi Kumpulan A dengan mencatat kemenangan kelima selepas menyingkirkan Mongolia 3-0.

Pemain ke-36 dunia, Aifa Azman yang terlebih dahulu masuk ke dalam gelanggang hanya mengambil masa selama 10 minit untuk menewaskan Myadagaa Dogsom 11-0, 11-1, 11-2.

Rachel Arnold yang merupakan pemain No. 25 dunia menundukkan Ariunbileg Altankhuyag 11-2, 11-4, 11-8 dalam masa 15 minit, manakala, Aira Azman mengalahkan Saran Khishigbaatar 11-1, 11-3, 11-3 dalam masa 13 minit.

Pengurus pasukan negara, Mohd Nafzahizam Adnan berkata, kedua-dua skuad lelaki dan wanita akan berdepan Jepun dan di atas kertas peluang Malaysia untuk menjejakkan kaki ke perlawanan akhir seharusnya tidak menjadi masalah.

“Untuk pasukan wanita halangan terbesar ialah Jepun menurunkan Satomi Watanabe (pemain No. 14 dunia) dan dia akan menentang Sivasangari (ranking No. 10 dunia).

“Perlawanan itu dijangka sengit, tetapi, saya yakin Sivasangari mampu menewaskan Satomi, jadi, saya merasakan memang tak ada isu untuk ke final,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memberitahu, skuad lelaki juga mempunyai peluang tinggi untuk menang 2-0 ke atas Jepun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×