PETALING JAYA: Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) memfokuskan kawasan kurang berisiko daripada sasaran serangan peluru berpandu tentera Israel untuk menyalurkan bantuan makanan serta perubatan kepada penduduk Palestin.
Perkara itu untuk memastikan kotak bantuan tidak rosak akibat serangan di sesetengah kawasan termasuk di Rafah, yang masih menjadi tempat perlindungan penduduk Palestin.
Pegawai Eksekutif Strategik Perhubungan Awam CGM, Haikal Zulkefli berkata, CGM memfokuskan kawasan yang kurang berisiko daripada serangan tentera Israel kerana hanya 50 trak barang komersial yang dibenarkan masuk setiap hari berbanding sebelum ini.
Menurut beliau, sebelum ini bekalan bantuan yang dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah mencecah 300 trak sehari.
“CGM akan meneruskan bantuan kepada rakyat Palestin terutamanya menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kata beliau, pembelian barangan di Gaza akan menjadi lebih cepat sejak CGM beroperasi di wilayah itu pada 2013, kerana syarikat mempunyai perjanjian dengan pembekal dan penjual tempatan untuk mendapatkan barangan komersial.
Haikal berkata, setakat semalam barangan komersial masih boleh masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah dan lintasan Karem Shalom walaupun terdapat bantuan yang masih tersekat.
Mengulas lanjut, Haikal berkata, mengenai misi korban ummah di Gaza, mereka tidak melakukan aktiviti penyembelihan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun melaksanakan ibadah sedekah daging di mana penyembelihan dilakukan di India.
“Setelah itu, daging tersebut dihantar ke UAE untuk proses pengetinan dan melalui bantuan UAE dan NGO terlibat, daging tersebut berjaya disalurkan melalui pintu masuk utara Gaza,” katanya. – UTUSAN










