RANTAU PANJANG: Pelarasan subsidi diesel yang dikuatkuasakan sejak Isnin lalu menyaksikan kumpulan penyeludup mula mengubah taktik dengan menyeleweng bahan api petrol.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penyeludup yang mahu dikenali sebagai Mad, 42, berkata, tindakan kerajaan itu menyebabkan tauke-tauke diesel mendapat keuntungan lebih kecil berbanding sebelum ini.
“Semasa kerajaan ikat harga diesel RM2.15 seliter, pendapatan yang kami peroleh agak lumayan, namun ketika ini permintaan terhadap diesel mulai turun.
“Sejak kelmarin ada dalam kalangan rakan-rakan mula mengubah dengan menyeludup minyak petrol,” katanya.
Mad memberitahu, permintaan terhadap petrol masih lagi tinggi disebabkan oleh harga bahan api itu masih lagi murah.
Katanya, permintaan daripada penduduk di negara jiran mendorong kepada penyeludupan.
“Biasanya petrol ini dibeli oleh penduduk berpendapatan rendah menggunakan motosikal di kawasan sempadan Thailand-Malaysia.
“Harga murah ini banyak membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Kabinet bersetuju melaksanakan pelarasan subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun. – UTUSAN











