Budak perempuan saksi ibu dibunuh bapa jalani pemeriksaan hospital - Utusan Malaysia

Budak perempuan saksi ibu dibunuh bapa jalani pemeriksaan hospital

SALBIAH Mohamed (dua dari kiri) beramah mesra dengan usahawan pada program 'Open Mic With Kak Sal' di Seri Iskandar, Parit hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang menyaksikan kejadian ibu dibunuh bapa semalam, kini menjalani pemeriksaan dan rawatan di sebuah hospital di Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Salbiah Mohamed berkata, pemeriksaan kesihatan itu dilakukan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur penderaan ke atas kanak-kanak itu.

“Kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kerana kita bimbang jika dia ada mengalami kecederaan fizikal atau dalaman.

“Selepas laporan perubatan lengkap diperolehi, barulah tindakan susulan diambil termasuk sesi kaunseling yang akan dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kinta,” katanya ketika ditemui pada program ‘Open Mic With Kak Sal’ di Seri Iskandar, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penempatan kanak-kanak itu selepas ini, beliau berkata, JKM akan mengenal pasti ahli keluarga terdekat untuk menjaganya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya tiada ahli keluarga yang layak dan sesuai, kanak-kanak itu akan ditempatkan di rumah perlindungan di bawah kendalian JKM.

“Saya dimaklumkan kanak-kanak itu ada datuk dan nenek sebelah ibu yang agak rapat dengannya selain dua adik-beradik yang berada di luar Ipoh.

“Cuma kita kena tahu juga kesanggupan mereka untuk menjaga dan lihat dari segi keselamatan kanak-kanak itu.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan kanak-kanak itu walaupun kepada saudara-mara. Jika kita lihat mereka tidak boleh jaga, tindakan akan diambil untuk meletakkan kanak-kanak itu di bawah JKM.

“Setakat ini, saya dimaklumkan oleh JKM bahawa datuk dan nenek kanak-kanak itu mahu mengambil tanggungjawab menjaga cucu mereka,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 56 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian isterinya yang ditemui di garaj rumah mereka di Kampung Simee, semalam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×