Dakwaan SMJE sama dengan 1MDB tidak masuk akal - Masidi

Dakwaan SMJE sama dengan 1MDB tidak masuk akal – Masidi

MASIDI MANJUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menafikan dakwaan pemimpin Parti Warisan (Warisan) yang menyamakan SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJE) dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, operasi Sabah International Petroleum Sdn. Bhd. (SIP) yang kini diambil alih oleh SMJE, tidak melibatkan sebarang penyelewengan atau kehilangan wang sebaliknya, ia hanya membabitkan pembiayaan semula.

“Sebagai bekas Ketua Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak wajar membuat dakwaan tidak masuk akal itu, seolah-olah langsung tiada pengetahuan mengenai sukuk,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohd. Shafie juga turut mempersoalkan mengapa pembiayaan semula menerusi sukuk diterbitkan SMJE berjumlah RM900 juta digunakan untuk membayar hutang SIP pada Bank Pembangunan Sabah (SDB), sedangkan SIP mampu membayar pinjaman.

Presiden Warisan itu juga menyatakan bahawa, sukuk yang digunakan SMJE seharusnya digunakan untuk membantu rakyat dan membaik pulih kemudahan asas.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kenyataan Mohd. Shafie menunjukkan beliau kurang pengetahuan mengenai terbitan kewangan atau sukuk.

“Harus diingat setiap terbitan bond/sukuk mempunyai tujuan tersendiri dan ia tidak boleh ditukar ganti. Jika dilihat sukuk terbitan SMJE dengan jelas untuk mengambil alih SIP bagi memastikan liabiliti SIP menjadi lebih rendah,” katanya.

Menurutnya, sukuk terbitan SMJE dengan jelas untuk mengambilalih SIP dan menerusi pengambilalihan itu, SMJE memastikan syarikat itu rendah lialibiti.

Disebabkan kedudukan syarikat-syarikat yang terlibat adalah milik kerajaan negeri maka, pertimbangan adalah dari segi keuntungan atau faedah, jelasnya.

Katanya, susulan tindakan SMJE mengambil alih SIP dan membayar hutang SIP kepada SDB maka, ia memberi manfaat kepada ketiga-tiga syarikat milik kerajaan negeri itu.

Misalnya, SIP boleh jimat RM60 juta dari segi faedah tahunan, bond SDB pula berkurang kepada RM700 juta selepas membayar pinjaman SIP. Pada masa sama, SMJE mendapat pulangan RM397 juta menerusi pengambilalihan SIP oleh SMJE.

“Apa yang tidak mampu dilihat oleh Mohd. Shafie adalah keuntungan diperoleh kerajaan negeri Sabah menerusi penstrukturan tiga syarikat tersebut. Buktinya, SMJE berjaya membayar RM50 juta dividen pada kerajaan negeri pada 2023 dan itu adalah dividen tertinggi.

“Jadi, tidak masuk akal bagi Mohd. Shafie mendakwa bahawa penstrukturan tiga syarikat tersebut menyerupai 1MDB. Hakikatnya tidak terdapat sebarang penyelewengan dalam urusan pengambil alihan SIP oleh SMJE,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×