JOHANNESBURG: Kementerian Kesihatan Afrika Selatan melaporkan kematian kedua akibat jangkitan cacar monyet atau virus mpox di negara itu, setakat minggu ini.
Kementerian hari ini berkata, kes baharu direkodkan kurang 24 jam selepas kematian pertama diumumkan.
Kes baharu itu melibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun, yang dimasukkan ke hospital di wilayah KwaZulu-Natal (KZN) akibat kelesuan, sakit kepala, ulser mulut, sakit otot dan sakit tekak. Dia disahkan dijangkiti penyakit itu semalam.
“Malangnya, pesakit disahkan meninggal dunia di KZN pada hari sama keputusan ujian dimaklumkan positif,” kata jurucakap jabatan kesihatan negara, Foster Mohale.
Enam kes cacar monyet yang disahkan oleh makmal, dengan dua kematian sejak kes pertama direkodkan lima minggu lalu.
Isnin lalu, seorang lelaki berusia 37 tahun menjadi mangsa pertama di Afrika Selatan akibat penyakit cacar monyet.
Mpox boleh merebak melalui hubungan rapat, menyebabkan simptom seperti demam, ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki dan kemaluan serta berisiko membawa maut.- REUTERS










