Mencuri untuk penuhi kehendak isteri bercuti, bayar hutang - Utusan Malaysia

Mencuri untuk penuhi kehendak isteri bercuti, bayar hutang

MULKIAMAN Manzar (kiri) menunjukkan barangan yang berjaya dirampas daripada suspek dalam sidang akhbar di IPD Padang Terap, Kuala Nerang. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seorang penganggur memberi alasan melakukan pelbagai kegiatan jenayah termasuk memecah masuk kedai dan rumah kerana mahu memenuhi kehendak isteri untuk bercuti selain membayar hutang.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada 31 Mei lalu kerana disyaki terlibat dalam 21 kes jenayah secara solo di daerah ini sejak 2023.

Katanya, selain memecah masuk kedai dan rumah, lelaki itu juga mengaku terlibat dalam kegiatan memecah cermin kereta, bagi mencuri barangan yang berada dalam kenderaan tersebut.

“Dia mendakwa melakukan kegiatan tersebut demi memenuhi kehendak isterinya untuk bercuti selain mahu membayar hutang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) wanita itu yang berjumlah RM350 secara mingguan.

“Sehari selepas dia ditahan, kami menahan isterinya yang berusia 30 tahun. Ketika itulah dia mengaku terlibat dalam semua kes itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di sini, hari ini.

Menurut Mulkiaman, antara barang yang disasarkan adalah tong gas dan dia didapati telah mencuri sebanyak 60 tong gas secara sedikit demi sedikit di beberapa lokasi, sebelum dijual kepada seorang individu di Sik.

“Dia juga mengaku terlibat dalam kegiatan memecah cermin kenderaan yang banyak berlaku di Felda Lubuk Merbau. Secara keseluruhan, nilai kerugian bagi kesemua kes itu dianggarkan bernilai RM40,000. Beberapa peralatan pecah rumah, sebuah Proton Persona serta barangan dicuri termasuk tong gas itu turut dirampas,” katanya.

Tambahnya, ujian air kencing terhadap bapa tiga anak yang pernah bekerja sebagai jurukimpal itu mendapati dia negatif dadah dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 448, dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini pihak polis telah mendapat perintah tuduh bagi sebahagian kes yang sedang disiasat melibatkan suspek sementara isterinya telah dibebaskan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×