MARANG: Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) yang melibatkan kira-kira 1,500 banduan di Terengganu berjaya mencapai matlamatnya apabila hanya lima banduan sahaja kembali dimasukkan ke dalam penjara.
Pengarah Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner Hamid Taha berkata, lima banduan itu ditahan pihak berkuasa kerana melakukan pelbagai kesalahan berulang.
Menurutnya, jumlah itu sangat kecil berbanding 1,500 banduan yang telah dilepaskan melalui program tersebut.
“Antara faktor utama kejayaan tersebut ialah 90 peratus daripada mereka telah mendapat pekerjaan daripada majikan dalam pelbagai sektor.
“Lebih 40 majikan telah bekerjasama dengan kita dalam menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai antaranya melalui bidang ternakan, pembuatan perabot dan bengkel baik pulih kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelepasan 118 banduan secara berlesen sempena sambutan Aidiladha di Penjara Maran, di sini, hari ini.
Kesemua banduan yang dilepaskan adalah mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil seperti mencuri di kedai runcit, menceroboh kawasan larangan dan memiliki dadah (jumlah yang kecil).
Mengulas lanjut, Hamid berkata, semua banduan diharap dapat memanfaatkan peluang itu untuk mengubah hidup mereka dan tidak lagi mengulangi kesalahan sama selepas ini.
“Jadikanlah hukuman dan pengalaman di dalam penjara itu sebagai ilmu berguna sebagai panduan menjalani kehidupan di luar sana.
“Kami telah melakukan yang terbaik dalam menjalankan amanah agar semua banduan dapat menginsafi perbuatan mereka selama ini dan kembali menjadi insan yang berguna untuk keluarga, agama dan bangsa,” katanya. – UTUSAN










