PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kagum dengan penerbitan filem aksi thriller ‘box-office’ tempatan, Sheriff Narko Integriti yang disifatkan sangat bermutu tinggi.
Perdana Menteri berkata, beliau secara peribadi teruja dengan prestasi, jalan cerita, lakonan dan pengarahan termasuk dialog dan aksi yang ditampilkan dalam filem itu.
“Kalau ini lah prestasi yang kita capai, maka masa depan dunia perfileman Melayu itu sangat cerah.
“Saya dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diundang untuk tengok keupayaan filem ini kerana mereka cuba yakinkan saya kata ada mesej,” katanya selepas menonton tayangan khas filem Sheriff Narko Integriti di IOI City Mall Putrajaya, di sini malam tadi.
Turut menonton filem itu termasuk Wan Azizah; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr. Ismail Bakar.
Anwar berkata, kerajaan khususnya kementerian dan agensi berkaitan akan memberi seluruh kerjasama dalam penghasilan filem tempatan bermutu tinggi sekali gus menggalakkan daya cipta dan kreativiti.
Anwar berkata, beliau juga mahu perkembangan filem Melayu tempatan terus disemarakkan dan disuburkan selain diberi ruang lebih luas.
“Kalau cerita berbentuk propaganda itu membosankan. Kalau cerita itu memaparkan kelemahan dalam satu-satu pasukan (penguat kuasa) dan pada masa sama ada kekuatan, ia patut ditunjukkan.
“Ia (filem) juga menunjukkan kekuatan bahawa dunia ini dan Malaysia ini tidak kurang dengan orang yang akan mempertahankan integriti dan menolak kecurangan sama ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Pada masa sama, beliau sangat terkesan dan berbangga dengan keupayaan seluruh keluarga yang menghasilkan filem ini.
Anwar turut menggesa kepada yang belum menonton untuk berbuat demikian kerana dunia perfileman Melayu sudah meningkat ke satu tahap yang mampu menyaingi penerbitan filem di rantau ini dan antarabangsa.
Terdahulu, Anwar bersama lebih 600 orang termasuk kenamaan dan anggota penguat kuasa berkesempatan menonton tayangan khas filem itu yang dianjurkan EAIC dengan kerjasama SKOP Productions dan Astro Shaws.
Pada sesi tayangan khas itu diserikan dengan kehadiran pelakon utama filem berkenaan iaitu Zul Ariffin, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan Kamal Affendi Hashim.
Sheriff Narko Integriti yang mendapat sentuhan pengarah muda, Syafiq Yusof itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara dan Singapura pada 18 April lalu.
Filem aksi thriller terbitan dua studio gergasi tanah air, Skop Productions dan Astro Shaw itu merekodkan kutipan lebih RM60.5 juta. – UTUSAN











