KUALA LUMPUR : Vokalis Cokelat, Kikan mengakui tidak pernah mempunyai hubungan baik selepas mengundurkan diri daripada kumpulan itu pada 2010.
Susulan kejadian itu, Kikan mengakui begitu membenci dan tidak mahu dikaitkan dengan kumpulan yang juga sahabatnya yang dikenali hampir tiga dekad lalu.
“Selama saya tak bersama Cokelat, saya benci dan marah sekali kalau orang panggil saya Kikan Cokelat.
“Saya ini Kikan Namara. Saya mencuba mati-matian melepaskan diri dari bayang-bayang Cokelat tetapi siapa sangka beberapa tahun kemudian mungkin rahsia Allah dan rahsia kehidupan, saya akhirnya kembalii bersama band ini.
“Sebenarnya tak pernah terlintas di fikiran bahawa saya kembali bergabung dengan abang-abang saya di sini. Mereka ini sudah seperti sebuah keluarga buat saya.
“Jadi bagi saya ‘reunion’ ini sangat istimewa,” katanya.
Kikan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Cokelat Kembali di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, petang tadi.
Sementara itu, Kikan tidak menolak bahawa gabungan ini secara tidak langsung berhasil kerana usaha Edwin dan pengurus yang juga suaminya, Udzir.
“Edwin mewakili pasukan Cokelat manakala Udzir mewakili saya. Mereka berdua inilah yang bersungguh-sungguh berkomunikasi dibelakang saya demi memujuk saya kembali.
“Sebenarnya saya memang marah dengan Udzir pada awalnya kerana untuk apa masih lagi berkomunikasi dengan Cokelat?
“Udzir cuba berbohong tetapi akhirnya membuka rahsia sebenar bahawa Edwin, Ernest, Ronny dan Ervin menyimpan hadrat besar untuk melihat saya kembali bersama band,” katanya.
Dalam pada itu, Kikan turut mendedahkan punca dia mengundurkan diri daripada kumpulan berkenaan kerana mahu memberi tumpuan terhadap suami dan anaknya.
“Antara kami berlima, saya adalah yang pertama mendirikan rumah tangga. Jadinya saya sedang mencuba untuk membahagikan masa untuk kerjaya dan keluarga.
“Selama dua tahun juga saya berperang dengan batin sebelum akhirnya membuat keputusan keluar daripada kumpulan kerana merasakan itu yang terbaik,” katanya.
Band Cokelat, antara pemuzik terbaik yang dimiliki industri hiburan Indonesia. Deretan album dan lagu popular mereka berjaya meletakkan band asal Bandung ini sentiasa segar dalam ingatan peminat.
Band yang dianggotai Kikan (vokalis), Edwin (gitar), Ernest (gitar), Ronny (bass) dan Ervin (dram) mengambil keputusan untuk ‘berpisah’ selama 12 tahun sebelum kembali bersatu pada 2022 menerusi persembahan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 2022.
Terbaharu, Cokelat kembali ke Malaysia menerusi konsert yang bakal diadakan pada 7 September 2024 di Zepp Kuala Lumpur.











