GEORGE TOWN : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diingat supaya tidak mempolitikkan isu air Sungai Muda untuk dijadikan bahan kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai nanti.
Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Faiz Fadzil berkata, pemimpin tersebut seharusnya berhenti daripada mengulangi retorik murahannya bahawa Pulau Pinang mengambil air Sungai Muda secara percuma.
“Pulau Pinang memiliki sebahagian daripada Sungai Muda kerana laluan sungai itu melalui Pulau Pinang sebelum memasuki Selat Melaka. Justeru, Pulau Pinang berhak menggunakan air berkenaan selagi mana ia tidak mengganggu penggunaan Kedah.
“Dalam hal ini, Muhammad Sanusi dinasihatkan agar menghormati ‘prinsip riparian’ yang membenarkan semua pemilik tanah (merujuk kepada Kedah dan Pulau Pinang) di sepanjang sumber air untuk menggunakan air berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Faiz, tindakan Muhammad Sanusi mengulangi retorik itu boleh dilihat sebagai keinginannya untuk memulakan perang ekonomi antara Pulau Pinang dan Kedah memandangkan air adalah asas pembangunan ekonomi.
“Saya nasihatkan beliau (Muhammad Sanusi) mencari punca pendapatan lain untuk mengeluarkan Kedah daripada kemiskinan mutlak yang tinggi, berbanding mengharapkan duit percuma.
“Kita tidak mahu satu hari nanti, semua sungai di Malaysia difederalisasikan atau diletakkan bawah kuasa kerajaan persekutuan akibat perbalahan antara kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.
Tambahnya, Muhammad Sanusi juga dinasihatkan menguruskan air Kedah dengan lebih bertanggungjawab di mana ‘non-revenue water’ (NRW) Kedah telah melebihi 50 peratus.
“Ini bermaksud paip dan saluran air di Kedah tidak diselenggara dengan baik oleh kerajaan Pas dan ini menyebabkan lebih 50 peratus air dirawat hilang sebelum sampai ke rumah pengguna,” katanya yang memaklumkan, di Pulau Pinang, NRW ini jauh lebih rendah iaitu pada kadar 26 peratus dan pelbagai usaha terus diambil untuk mengurangkan kadar ini.
Sementara itu, DAPSY Cawangan Bukit Bendera tampil membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi hari ini susulan kenyataannya berkaitan isu Sungai Muda.

Jurucakapnya berkata, laporan polis itu dibuat agar pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dan hasutan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah itu.
Muhammad Sanusi sebelum ini berkata, kerajaan negeri Kedah sedia menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang bagi mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Nibong Tebal sejak sekian lama khususnya di kawasan Sungai Bakap.-UTUSAN










