Pengarah syarikat rugi RM1.3 juta, terpedaya pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat rugi RM1.3 juta, terpedaya pelaburan tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki yang juga pengarah syarikat mengalami kerugian kira-kira RM1.3 juta selepas wang syarikat dan simpanannya lesap selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud secara dalam talian antara bulan April dan Mei lalu. 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Hatta Che Din berkata, hasil daripada laporan diterima, mangsa yang berusia 45 tahun telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp dengan individu yang tidak dikenali dan telah menyertai pelaburan secara dalam talian. 

“Mangsa dipercayai telah membuat pindahan wang sebanyak 16 kali transaksi menggunakan wang miliknya sendiri dan syarikat bermula dari 29 April sehingga 28 Mei lalu dan mengalami kerugian berjumlah RM1.306 juta. Berikutan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 55 kertas siasatan berkaitan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian telah dibuka dengan jumlah kerugian kira-kira RM4.4 juta telah direkodkan bagi tempoh awal tahun sehingga kini di daerah ini.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 23 tangkapan telah dibawa ke mahkamah untuk tujuan pertuduhan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” kata beliau lagi.

Mohd. Hatta dalam pada itu menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya kepada tawaran pelaburan secara dalam talian dan sentiasa membuat semakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×