ALOR GAJAH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didakwa mencederakan abang kandungnya dengan sebilah parang, hanya kerana mangsa enggan meminjamkan motosikal.
Tertuduh, Muhammad Tuah Md. Ali, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nariman Badruddin sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah dengan menggunakan sebilah parang terhadap abang kandungnya berusia 34 tahun.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 8.40 malam di sebuah rumah bernombor di Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru dalam daerah Alor Gajah pada 5 Jun 2024.
Mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 362 (A) kanun sama, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat dipohon pendakwaan.
Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan, hanya kerana berang tidak dibenarkan menggunakan motosikal, seorang penganggur sanggup bertindak ganas menetak abang kandungnya dengan parang.
Mangsa mengalami kecederaan putus urat jari tangan kiri sehingga menyebabkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan di lokasi kejadian selepas melibas parang ke arah mangsa. – UTUSAN








