Lelaki didenda RM1,000 kasari pemandu van - Utusan Malaysia

Lelaki didenda RM1,000 kasari pemandu van

TANGKAP layar kejadian yang tular dalam media sosial di Jalan Persiaran Sri Putri Utama, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang pemandu Honda City yang bertindak samseng dengan mengasari pemandu lain di Jalan Persiaran Sri Putri Utama, di sini didenda RM1,000.

Lelaki berusia 33 tahun itu dijatuhi hukuman itu selepas mengakui bersalah ke atas kesalahan yang dilakukannya Ahad lalu apabila didakwa di Mahkamah Majistret Kulai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, mangsa berusia 34 tahun yang memandu van jenis Nissan C22 membuat laporan polis pada hari kejadian mendakwa dia dihalang dan kemudian dikasari seorang lelaki menaiki Honda City dalam kejadian pukul 2.42 petang.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa pengadu memandu sebuah van di Jalan Persiaran Sri Putri Utama, Kulai telah dihalang sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu tertuduh. Tertuduh kemudiannya mendekati mangsa lalu bertindak memukul bahagian muka pengadu dengan menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian bibir serta bengkak pipi.  

“Video kejadian buli jalanan itu  tular dalam media sosial. Pada hari sama, pihak polis telah menahan suspek kira-kira pukul 8.30 malam,” katanya di sini.

Terdahulu, tular video berdurasi 3 minit 27 saat memaparkan pemandu Honda City berwarna hitam bersama seorang wanita, keluar di tengah jalan dan menuju ke arah sebuah van di belakang kereta terbabit.

Dipercayai berlaku pertengkaran mulut, sebelum lelaki terbabit bertindak memukul pemandu van berkenaan, sebelum ditenangkan oleh orang awam.

Seng Lee berkata, hasil siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham setelah mangsa yang keluar simpang di Taman Gunung Pulai hampir bertembung dengan kereta dipandu tertuduh.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×