PETALING JAYA: Peguam yang mewakili ibu dan bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin mendakwa tidak dimaklumkan kehadiran anak guamnya di Mahkamah Petaling Jaya, hari ini.
Fahmi Abd. Moin berkata, mereka tidak dimaklumkan oleh polis berhubung kehadiran anak guamnya, iaitu ibu kepada Zayn Rayyan untuk hadir bagi prosiding tertutup.
“Kami tidak dimaklumkan oleh polis. Kami hanya dimaklumkan oleh petugas media seawal pukul 9.30 pagi ini bahawa berlaku prosiding tertutup yang mana pegawai penyiasat membawa ibu Zayn Rayyan ke mahkamah hari ini.
“Jadi, setelah berbincang kami untuk hadir ke mahkamah. Kami lewat bukan sebab disengajakan tetapi kami lewat dimaklumkan.
“Kami tiba di mahkamah pukul 11.15 pagi dan terus ke Mahkamah Majistret 2 untuk melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Fahmi berkata, prosiding itu dilakukan di dalam kamar.
“Semasa kami tiba, pegawai penyiasat baru memulakan permohonan di hadapan Majistret Zhaafran Rahim Hamzah.
“Apabila kami bertanyakan apakah asas kehadiran pegawai penyiasat, kami telah dibenarkan untuk membuat bantahan terhadap prosiding ini,” katanya. – UTUSAN











