Majoriti pengundi India akan sokong calon Kerajaan Perpaduan - Kumaresan

Majoriti pengundi India akan sokong calon Kerajaan Perpaduan – Kumaresan

A. KUMARESAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Majoriti pengundi India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan menyokong calon PKR yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, A. Kumaresan berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada kalangan masyarakat India di situ, pada ketika ini.

“Saya sendiri telah turun padang untuk berjumpa dengan pemimpin setempat di sana (Sungai Bakap) dan saya dapati, masyarakat tempatan termasuk kaum India memberi maklum balas yang baik terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Oleh itu, saya yakin penerimaan positif ini akan membuatkan pengundi khususnya 17 peratus masyarakat India untuk menyokong calon PKR yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Sungai Bakap.

“Saya juga yakin peluang calon Kerajaan Perpaduan cerah untuk menang pada PRK kali ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat khabar angin mengenai kononnya akan berlaku ‘gangguan’ terhadap pengundi India di DUN Sungai Bakap termasuk cubaan menghalang mereka daripada keluar mengundi calon Kerajaan Perpaduan.

PRK DUN Sungai Bakap dijangka diadakan pada 6 Julai depan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff. Seramai 39,279 pemilih yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Mengulas lanjut, Kumaresan berkata, pengundi termasuk masyarakat India sudah matang dan mereka bijak menilai pemimpin mana yang layak mewakili mereka.

“Setiap pengundi penting memainkan peranan yang sangat penting, saya percaya pengundi akan jalankan tanggungjawab mereka.

“Walaupun ada cakap-cakap, ura ura dan sebagainya, ia tidak akan memberi kesan kepada pengundi termasuk pengundi India kerana mereka bijak menentukan masa depan kawasan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Kumaresan berkata, Pakatan Harapan (PH) juga giat menjalankan program-program penerangan kepada rakyat mengenai dasar terkini Kerajaan Perpaduan agar rakyat memahami dasar-dasar kerajaan pada masa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×