GEORGE TOWN: Isu kandang lembu haram yang membelenggu penduduk Changkat Bukit Gambir di sini, sejak lebih tiga bulan lalu akhirnya selesai apabila penternak yang terlibat bersetuju memindahkan kandang tersebut selewat-lewatnya penghujung Januari depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan tiga penjuru antara wakil penduduk, ADUN dan penternak susulan lawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir. A. Rajendran ke kawasan berkenaan, pagi tadi.
Menurut beliau, kandang lembu tersebut yang menempatkan lebih 10 ekor lembu didapati dibina tanpa kelulusan di kawasan perumahan sekali gus menimbulkan pelbagai masalah termasuk pencemaran bau, lalat serta risiko pencemaran sungai khususnya ketika hujan.
“Saya telah menerima beberapa aduan daripada penduduk dan perkara ini juga telah dibangkitkan kepada MBPP. Walaupun kandang ini tidak mendapat kelulusan, sebagai kerajaan yang prihatin, maka, kita cuba selesaikan isu ini secara menang-menang dengan mengambil kira sumber pendapatan penternak serta kesejahteraan penduduk,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Kumaresan berkata, ketika ini, kerajaan negeri sedang dalam perancangan untuk menyediakan kawasan khas bagi penternakan lembu yang akan dipusatkan di Balik Pulau iaitu jauh dari kawasan perumahan dengan sasaran siap menjelang Mac 2026.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan isu pencemaran bau di Changkat Bukit Gambir melibatkan kira-kira 300 buah rumah, maka, pihaknya telah meminta agar kandang lembu itu dipindahkan lebih awal.
“Kita telah bersetuju memberikan tempoh sehingga 31 Januari 2026 untuk penternak memindahkan kandang lembu tersebut. Jika mereka bersedia lebih awal, perpindahan boleh dibuat sebelum tarikh itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Nur Bukit Gambir, Noor Salehin Othman berkata, penduduk telah lama berdepan masalah bau najis lembu yang kuat terutama pada waktu pagi dan petang, selain pencemaran air yang mengalir ke sungai berhampiran.
“Najis lembu ini dibuang dua kali sehari dan baunya sangat ketara. Apabila hujan, sisa najis mengalir masuk ke sungai kecil dan seterusnya ke sungai besar. Ada penduduk yang rumahnya dimasuki air bercampur najis,” katanya.
Beliau mewakili penduduk dan pihak surau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan ADUN Batu Uban kerana mengambil pendekatan berunding serta prihatin terhadap kebajikan penduduk dan penternak.
“Ini satu penyelesaian yang baik. Penduduk lega, penternak pula dibantu untuk mendapatkan lokasi baharu yang sesuai. Kami harap perkara ini dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










