Tiada pilihan lain, perlu teruskan hidup

Tiada pilihan lain, perlu teruskan hidup

SEORANG kanak-kanak Palestin duduk di atas troli yang digunakan untuk mengangkut tong air di Bandar Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serangan bertali arus tentera Israel yang masih tidak nampak penghujungnya menyebabkan keadaan rakyat Palestin terpaksa bersusah payah umpama cuba mencari kehidupan di padang pasir.

Perkara itu ekoran kehidupan rakyat Palestin di Gaza yang dilihat sukar untuk kembali normal seperti sedia kala, namun tumpuan mereka adalah untuk menyelamatkan diri daripada serangan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asmaa Hussein Eslayeh, 31, berkata, rakyat Palestin cuba membiasakan diri dengan keadaan yang berlaku kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Katanya, sesetengah orang tidak dapat menunggu sehingga serangan berakhir kerana mungkin tiada pengakhirannya, namun jika hanya menyerah kalah ia membuatkan Israel gembira melihat hidup mereka dalam kesengsaraan.

“Kami terpaksa membina semula rumah yang telah diserang banyak kali walaupun kekurangan bahan binaan di pasaran dengan menggunakan bahan sedia ada .

“Kami hanya mempunyai dua pilihan sama ada meneruskan kehidupan dan tahan ujian daripada Allah atau menyerah tanpa mendatangkan apa-apa hasil,” katanya.

Asmaa berkata, terdapat jurang besar antara keadaan sebelum dan selepas serangan yang mana hampir semua rakyat di Gaza kini menganggur, termasuk guru.

Katanya, apabila tentera Israel melancarkan serangan bom dan peluru berpandu, kesan bom memusnahkan permukaan tanah dan menyebabkan kehilangan air bawahnya.

“Kami perlu mencari bekalan air dan cara untuk mengekstrak air dari tanah semula kerana sebelum serangan berlaku, kami mempunyai stesen untuk mengedarkan dan mengekstrak air dari tanah.

“Namun, semuanya telah dimusnahkan hingga kami perlu bermula dari sifar dan mencari penyelesaian lain termasuk membeli beberapa barang keperluan dan capaian internet tetapi nilainya terhad,” jelasnya.

Asmaa turut berkata, pilihan terakhir bagi orang ramai untuk mendapatkan barang keperluan adalah di Rafah, terutama ketika Rafah belum diserang, namun keadaan semakin teruk walaupun serangan telah beralih dari Khan Younis ke Rafah.

“Kawasan ini dibuka untuk kemasukan barang-barang komersial kerana terdapat beberapa trak yang membawa sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan lain. Namun kami terpaksa membeli barangan ini di pasaran kerana tiada bantuan diberikan kepada orang ramai.

“Harganya sangat mahal sehingga mencecah sepuluh kali ganda daripada biasa. Namun orang ramai juga tidak mempunyai pilihan selain menggunakan makanan dalam tin yang masih ada daripada bekalan sebelum ini.

“Majoriti rakyat tidak mampu membeli sayur-sayuran atau buah-buahan, jadi mereka masih bergantung kepada bantuan makanan dalam tin yang diterima sebelum ini kerana buah-buahan yang ditanam semuanya musnah sehingga tiada sumber lain kecuali mengimport dari luar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×