Calon tempatan jadi pilihan PN

PRK Sungai Bakap: Calon tempatan jadi pilihan PN

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan memilih calon tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, faktor utama bagi pemilihan calon PN adalah kemampuan untuk menjalankan amanah bila dipilih untuk bertanding.

“PN belum membuat keputusan siapa calonnya, namun akan mengambil kira calon yang telah dikenali dan banyak menyumbang bakti kepada rakyat.

“Selain itu, kesetiaan dengan parti, patuh dan taat kepada keputusan jamaah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PN akan meneliti semua calon yang berkelayakan dan menepati sasaran yang ditetapkan Pas dan mengumumkan keputusannya pada 16 Jun ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, bagi pemilihan calon belum diputuskan dan majlis syura akan putuskan pada peringkat tertinggi oleh Pas pusat.

“Kami serah kepada Pas pusat untuk tentukan dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada mereka,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×