PETALING JAYA: Malaysia telah meluluskan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan awam (cloud service) berjumlah RM114.7 bilion dalam jangka masa dua tahun sejak 2021 hingga 2023.
Pelaburan tersebut menyediakan sebanyak 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.
Melihatkan potensi itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memberi penekanan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dunia pada Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) hari ini.
“Antara usaha itu termasuklah komitmen Kerajaan Madani untuk memacu Malaysia sebagai destinasi Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) Lestari di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.
Perdana Menteri berkata, pada mesyuarat sama, beliau menekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam usaha berterusan menggalakkan pelaburan dalam sektor pusat data berteraskan AI.
Katanya, ia bertujuan bagi meningkatkan limpahan ekonomi melalui pendigitalan serta kompleksiti ekonomi pelbagai sektor di Malaysia.
“Sehubungan itu, MPN hari ini bersetuju supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menambah baik kerangka insentif semasa, melalui mekanisme penggunaan peralatan cekap tenaga dan air, serta bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam penyediaan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi kegunaan pusat data AI.
“Kerangka tersebut juga akan merangkumi padanan pemain pusat data dengan syarikat tempatan bagi tujuan pembangunan vendor tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kerjasama antara industri dan akademia bagi memupuk inovasi dalam pembangunan peralatan cekap tenaga dan perisian,” katanya..
Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan syarikat teknologi Google mengesahkan komitmen pelaburan sebanyak AS$2 bilion (RM9.4 bilion) bagi menyokong kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.
“Pelaburan ini dijangka akan membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar AS$3.2 bilion (RM15 bilion) dan pewujudan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.
“Pelaburan terkait pusat data yang pertama bagi Google di Malaysia dan pembangunan rantau Google Cloud ini adalah bukti bahawa perencanaan kerajaan yang jelas selain kekuatan ekonomi dan sumber negara menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur sedia ada dan baharu,” katanya. – UTUSAN









