PM beri jaminan tidak sekali-kali ‘sekat’ tugas penjawat awam

PM beri jaminan tidak sekali-kali ‘sekat’ tugas penjawat awam

ANWAR Ibrahim ketika majlis perhimpunan bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk mempertahankan segala tindakan yang dilakukan penjawat awam selagi mereka menjalankan tugas dengan baik.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan sekali-kali terikut dengan tekanan puak-puak ‘penyakau’ kerana ada tindakan diambil terhadap penjawat awam susulan ‘tekanan’ daripada pegawai peringkat tertinggi.

Beliau berkata, sepanjang tempoh setahun setengah menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah memberikan arahan atau menyekat sebarang tindakan yang mahu diambil oleh badan penguat kuasa.  

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sudah satu setengah tahun lebih jadi Perdana Menteri, saya tak pernah beritahu ‘jangan ambil tindakan kepada mereka’, tidak pernah, cuma paling tidak saya memberitahu untuk menilai semula walaupun kita rasa ia satu tindakan tidak adil.

“Sekurang-kurangnya saya mempertahankan kerja penjawat awam, tidak akan sekat, saya akan pertahankan setiap orang penjawat awam selagi mereka menjalankan tugas dengan baik. 

“Saya sudah lama dalam dalam politik dan sudah lama dalam kerajaan,” katanya ketika berucap ketika perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau mahu melaksanakan yang terbaik untuk negara walaupun melakukan tindakan tidak popular seperti penyasaran subsidi dan pelaksanaan skim gaji penjawat awam. 

“Saya nak buktikan tidak semua orang politik itu kaki sakau, angkuh dan mendera rakyat. 

“Saya nak buktikan bahawa kita boleh sebagai satu pasukan, pimpinannya dan penjawat awamnya, syarikat kerajaan dan jabatan-jabatan, kalau ada tekad ini kita boleh ada anjakan, dan angkat martabat negara,” katanya. 

Beliau  pada masa sama tidak mahu mempedulikan segala cacian dan makian terhadapnya semata-mata mahu melaksanakan apa yang baik untuk negara selagi ada mandat dengan mengambil tindakan tegas dan berani.

“Orang politik nak selamat, jangan buat apa-apa, teruskan subsidi tidak apa, tiris pun tiris lah, asalkan undi dapat, tetapi sejujurnya perlu ada kesediaan untuk ambil tindakan yang baik dan boleh diselamatkan banyak dana.

“Dengan cara ini kita boleh tingkatkan untuk kemajuan pengangkutan awam, pendidikan, digital, bagaimana kita boleh mengumpul dana sekiranya ketirisan begitu banyak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×