KUCHING: Planet QEOS Sdn. Bhd., KIS BIOCNG Sdn. Bhd. serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membentuk rangka kerjasama bagi menghasilkan biohidrogen menerusi proses pembentukan semula wap biometana (SBMR).
Ia dimeterai dalam Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 di Kuching, Sarawak, hari ini.
Dengan pemeteraian MoU itu, Planet QEOS akan bertindak sebagai pengeluar biohidrogen dengan penuilan proses SBMR bagi menghasilkan hidrogen.
Sementara itu, KIS BIOCNG akan menyediakan teknologi bersesuaian bagi penghasilan biogas dan biometana yang bertindak sebagai keperluan suapan untuk proses SBMR.
SALCRA pula akan membekalkan suapan pengeluaran biometana dari kilang-kilang minyak sawit dan menyediakan kemudahan pengeluaran biogas.
Planet QEOS dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama ketiga-tiga pihak bertujuan menjana kemampanan dan keberkesanan kos biohidrogen bagi kegunaan komersial di Sarawak.
“Kejayaan pelaksanaan projek ini akan menjadi penanda aras dan bukti kepada konsep memanfaatkan sisa dari keluasan keseluruhan 1.8 juta hektar ladang kelapa sawit di Sarawak untuk pengeluaran biohidrogen.
“Inisiatif ini menjanjikan bukan sahaja untuk menghasilkan industri minyak sawit yang mampan dengan menukar sisa dari kilang sawit kepada biohidrogen tetapi juga membawa manfaat kepada ekonomi,” jelas kenyataan itu hari ini.
Majlis pemeteraian MoU disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Planet QEOS, Dino Bidari; Ketua Pegawai Eksekutif KIS BIOCNG, K.R. Raghunath dan Timbalan Pengurus Besar SALCRA, Sikin Sentok.
Ia disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utorn. – UTUSAN











