GEORGE TOWN : Seorang lelaki ditahan semalam kerana dipercayai terlibat dalam kes merosakkan sebuah kereta dengan menggunakan helmet di Jalan Sungai Pinang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Suspek lelaki berusia 30-an ini ditahan kira-kira pukul 7 petang semalam di kawasan Flat Jalan Sungai Pinang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular kejadian mengenai seorang lelaki yang merosakkan kereta dipandu seorang lelaki lain dengan menggunakan helmet.
Menurut Razlam, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.50 petang Sabtu lalu dan suspek dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas motosikalnya dilanggar oleh kereta mangsa.
“Suspek pada mulanya mengajak mangsa untuk bergaduh selepas kejadian itu (kemalangan) namun, mangsa enggan memanjangkan keadaan dan mahu berlalu pergi.
“Bagaimanapun, suspek yang masih tidak berpuas hati kemudian mengekori kereta mangsa bertindak merosakkan kereta tersebut,” katanya.-UTUSAN











