GEORGE TOWN : Rakaman video yang tular berhubung teguran seorang individu berkaitan penggunaan sijil halal yang salah terhadap pengendali premis makanan adalah video lama yang ditularkan semula.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, semakan mendapati, isu tersebut sudah berjaya diselesaikan sejak Julai lalu.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, semakan lanjut mengesahkan bahawa premis terbabit beroperasi di sebuah pusat beli-belah di Bayan Lepas dan bukan di Sungai Dua seperti yang didakwa.
“Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melalui Bahagian Pengurusan Halal telah menjalankan pemeriksaan di premis itu pada 8 Julai.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, didapati premis berkenaan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan tidak lagi mempamerkan salinan sijil rumah sembelihan.
“Dalam hal ini, pihak syarikat telah diperingatkan semasa pemeriksaan tersebut supaya tidak mempamerkan sijil halal milik syarikat lain atau mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sebelum itu, tular di media sosial mengenai rakaman video yang menunjukkan seorang individu mengecam penggunaan sijil halal yang dimiliki oleh sebuah premis makanan berasaskan nasi ayam kerana statusnya yang meragukan sehingga mencetuskan kebimbangan awam.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada 8 Julai itu turut dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pensijilan Halal Malaysia Negeri Pulau Pinang Bilangan 11 Tahun 2025 pada 15 Julai lalu.
“Apabila berlaku penularan semula rakaman video berkenaan, JHEAIPP bersama KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) Pulau Pinang kemudian sekali lagi turun padang untuk melakukan pemeriksaan semalam.
“Pemeriksaan kali ini bukan sahaja dibuat di premis di Persiaran Bayan Indah (Bayan Lepas), malah, sebuah lagi premis makanan di pusat beli-belah di Persiaran Gurney turut diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada lagi sijil halal rumah sembelihan atau milik syarikat lain dipamerkan dan tiada kesalahan dikesan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang maklumat sebelum menyebarkannya termasuk melalui media sosial manakala pengesahan status halal pula boleh disemak melalui Portal Halal myehalal.halal.gov.my.-UTUSAN










