KUALA LUMPUR: iMHome Property Management Sdn. Bhd. (iMHome) dan KAB Goldynamics Sdn.Bhd. (KAB Gold) bekerjasama dalam menawarkan peluang kepada orang ramai menggunakan pegangan emas untuk membina rumah impian.
Ketua Pegawai Pemasaran iMHome, Shahrul Izuan Shafie berkata, kerjasama pertama seumpamanya itu diperkenalkan dengan menjadikan pegangan emas sebagai kaedah pembayaran alternatif selain wang tunai.
“Ketika ini, semakin ramai yang menyimpan dan membeli emas bagi tujuan pelaburan atau simpanan masa depan mereka.
“Ini membuktikan yang rakyat Malaysia sebenarnya mampu memiliki rumah impian asalkan mempunyai tanah sendiri. Kami juga menawarkan pembinaan rumah serendah RM65,000 sahaja.
“Di bawah kerjasama ini, iMHome akan membangunkan rumah kediaman, manakala KAB Gold bertindak sebagai pengurus transaksi jualan emas antara pelanggan termasuk menentukan ketulenan dan nilai semasa pegangan emas fizikal tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis memeterai perjanjian (MoU) iMHome dan KAB Goldynamics di sini.
iMHome yang sudah beroperasi sejak 2016 telah membina sebanyak 766 rumah mampu milik di Semenanjung Malaysia dan menawarkan 25 jenis reka bentuk rumah pilihan kepada pembeli.
Shahrul Izuan menjelaskan, KAB Gold akan menukar pegangan emas pembeli yang terlibat kepada tunai sebelum dijadikan wang pendahuluan sehingga 50 peratus daripada kos pembinaan rumah kediaman.
“Kami melihat usaha ini sebagai langkah penting dalam meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri. Kemudahan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia termasuk 40,000 ahli KAB Gold di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KAB Gold, Khairul Anuar Basri berkata, kerjasama ini bertujuan mendidik lebih ramai rakyat di negara ini menyimpan emas kerana tanpa disedari mereka sebenarnya mampu memiliki rumah sendiri dengan emas yang disimpan.
“Apabila mereka membeli rumah dengan emas, kemungkinan nilai emas sebelum ini rendah namun pembeli mendapat keuntungan kerana nilai emas semasa yang lebih tinggi berbanding harga beli dahulu.
“Kemudahan ini adalah satu peluang sangat baik dalam memiliki rumah secara bayaran penuh tanpa perlu bergantung kepada hutang pembiayaan yang membebankan,” katanya.-UTUSAN










