Tekanan besar buat Pas untuk kekal di Sungai Bakap

Tekanan besar buat Pas untuk kekal di Sungai Bakap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM pun hilang bahang kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang diadakan pada 11 Mei lalu, sebuah lagi PRK akan menyusul dalam masa terdekat setelah pemergian wakil rakyatnya pada 24 Mei.

Kali ini parti-parti politik akan kembali berentap di DUN Sungai Bakap yang sebelum ini diwakili oleh wakil rakyat Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK tersebut akan diadakan pada 6 Julai dengan penamaan calon pada 22 Jun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mampukah PN mengekalkan kemenangan mereka? Persoalan panas berapi ini sudah pasti menyebabkan ramai orang parti tidak lena tidur dek memikirkan strategi bagi memastikan kemenangan parti.

Pada masa yang sama, mereka juga terpaksa berusaha untuk mengawal keadaan jika nanti ada yang terasa hati kerana tidak terpilih sebagai calon. Bak kata orang-orang tua, bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak.

Jika dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu, seperti yang telah dijangkakan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kerusi yang disandang mereka. Kini tiba giliran PN untuk membuktikan bahawa parti itu juga masih menjadi pilihan pengundi DUN Sungai Bakap yang memilih mereka dalam PRN lalu.

Sudah tentu kemenangan Kerajaan Perpaduan dalam PRK Kuala Kubu Baharu memberi tekanan hebat kepada Pas untuk menunjukkan gelombang hijau masih relevan tidak hanya di Kedah, Kelantan dan Terengganu tetapi juga di luar kawasan tradisi mereka.

Pada hakikatnya, PRK ini sebuah lagi gelanggang pertarungan penting di antara PN dan Kerajaan Perpaduan. Malah, jika ada calon-calon daripada parti lain turut sama bertanding, mereka mungkin dilihat seolah-olah hanya hadir sebagai pemecah undi sahaja seperti mana keadaannya dalam PRK-PRK sebelumnya.

Mengambil contoh dalam PRK Kuala Kubu Baharu, kempen calon-calon daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas dilihat sangat lemah dan tidak mempunyai elemen istimewa, sedangkan mereka tahu sedang berhadapan dengan dua gergasi politik tanah air.

Bagi kerusi N20 ini, apa yang sangat menarik ialah walaupun keputusan PRK ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kerajaan negeri, apatah lagi kerajaan Persekutuan, tetapi dari sudut pengaruh politik ia dianggap sangat penting.

Dalam keadaan politik negara yang sangat dinamik, dampak daripada keputusan PRK ini amatlah besar, terutamanya kepada PN sebagai penyandangnya. Tambahan pula, pengundi kerusi N20 majoritinya orang Melayu, yang mana menurut dakwaan PN akan memihak kepada mereka.

Secara umumnya, keputusan PRK Sungai Bakap akan dilihat sebagai penunjuk aras kepada tahap sokongan di lapangan, lebih-lebih lagi kepada Pas dan PN sebagai penyandang kerusi ini.

Perkara ini menjadi lebih penting kerana setakat ini, dalam semua PRK yang telah di adakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), belum ada parti-parti yang bertanding gagal mengekalkan kerusi masing-masing.

Oleh kerana itu, sebagai penyandang kerusi DUN Sungai Bakap, tekanan kepada Pas untuk memenangi kerusi ini sudah tentu sangat tinggi. Lebih-lebih lagi, lokasi dan pecahan pengundi mengikut kaum dikatakan lebih memihak kepada Pas.

Justeru, jika PN gagal memenangi kerusi DUN Sungai Bakap, prestasi baik mereka dalam PRU15 yang lalu akan dilihat tercalar. Pada dasarnya, kegagalan mengekalkan kerusi ini akan mengakibatkan Pas dan PN secara keseluruhannya dilihat sudah kehilangan momentum untuk menggerakkan gelombang hijau.

Walau bagaimanapun, hal-hal seperti ini tidak akan mempengaruhi kesetiaan ahli-ahli Pas yang memang terkenal sangat walak kepada perjuangan parti. Akan tetapi, kesannya berlainan ke atas sokongan pengundi atas pagar yang banyak menolong kemenangan besar PN dalam PRU15 lalu.

Seperti PN, amatlah penting bagi Kerajaan Perpaduan untuk memenangi kerusi Sungai Bakap. Keupayaan mereka merampas kerusi tersebut daripada tangan PN akan menunjukkan bahawa mereka sudah dapat mengembalikan sokongan pengundi mereka supaya tidak ada lagi yang bertindak mengundi parti lawan sebagai tanda protes.

 

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini.

 

KEMPEN
Perebutan kerusi Sungai Bakap sudah pasti bakal meledakkan lagi suasana politik negara yang sentiasa menggelegak dengan pelbagai isu sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14, enam tahun yang lalu.

PN berkemungkinan akan menggerakkan jentera yang besar daripada seluruh negara terutamanya Kedah, Terengganu dan Kelantan ke Sungai Bakap selain memperluaskan lagi kempen melalui media sosial yang dilihat sangat berkesan setakat ini khasnya kepada golongan muda.

Isu kenaikan tarif air di Pulau Pinang sudah tentu akan dimainkan sepenuhnya dalam PRK ini dan amat menarik bagi kita untuk melihat bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjawab isu ini.

Secara dasarnya, PN sangat mengharapkan undi daripada pengundi atas pagar khasnya pengundi muda yang lebih senang dipujuk dan juga undi protes daripada penyokong UMNO untuk memenangi PRK ini.

Dapatkah calon PKR yang mewakili gabungan Kerajaan Perpaduan membuat kejutan dan merampas kerusi DUN Sungai Bakap daripada PN? Hal ini tidak mustahil jika semua parti berjaya mendapatkan undi daripada penyokong masing-masing dan tidak menikam sesama sendiri.

Kita mengharapkan dalam kempen PRK ini tiada lagi pihak yang akan memainkan isu-isu sensitif 3R (kaum, agama dan raja) demi meraih sokongan pengundi. Kita tidak mahu negara menjadi porak-peranda akibat perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin politik.

Jangan biarkan fitnah dan kata-kata kesat dinormalisasikan sebagai elemen kempen pilihan raya. Hal-hal begini jangan dipandang ringan kerana tanpa kita sedari ia akan merosakkan keperibadian anak bangsa.

Kepada pengundi muda, jangan mudah menerima sesuatu yang ditularkan tanpa usul periksa. Hargailah nilai undi anda. Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×