UNIVERSITI berfungsi sebagai taman ilmu indah yang padanya para ilmuwan dan penuntut mencari kebenaran, meningkatkan kesarjanaan, menginovasi penyelesaian dan membangun anak watan menerusi perkhidmatan.
Pada era kontemporari ini, universiti bukan hanya menjalankan fungsi pengajaran dan pembelajaran menerusi program akademik yang ditawarkan, sebaliknya berfungsi juga sebagai institut penyelidikan yang giat menghasilkan pelbagai penemuan dan menawarkan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat, negara dan dunia.
Universiti di Malaysia dibahagikan kepada beberapa kategori. Kategori utama yang selalu disebut-sebut ialah universiti penyelidikan (research university, RU).
Universiti penyelidikan bermula 2006 dengan empat buah universiti tempatan dipilih menjadi perintis, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pada 2010, bilangan RU bertambah menjadi lima, apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih memasuki liga universiti utama negara ini.
Menurut bekas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Datuk Dr. Abdul Wahab Mohammad menerusi satu penulisan rencana yang diterbitkan dalam sebuah akhbar bertarikh 27 Jun 2020, matlamat penubuhan RU ialah sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara menerusi penghasilan produk-produk penyelidikan yang dapat memacu kemajuan ekonomi, menjana kekayaan hasil dan ilmu baharu dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Kecemerlangan RU amatlah dituntut. Dalam konteks penarafan universiti dunia, khasnya QS World University Rankings 2025, kelima-lima RU ini berada dalam kedudukan 200 terbaik dunia. Pencapaian ini amat memberangsangkan sebagai satu indikator pencapaian RU yang penting.
Penarafan universiti dunia ini memberikan satu petanda bagi RU dan universiti-universiti tempatan yang lain untuk membuat penandaarasan (benchmarking) dengan universiti-universiti terkemuka dunia.
UTM berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 200 terbaik dunia bagi QS World University Rankings 2025. Malah, dalam penarafan berbeza, UTM telah melonjak sebanyak 76 anak tangga dalam THE Asia Ranking 2024 daripada kedudukan 161 kepada 85.
Dalam menanggapi kecemerlangan pendidikan tinggi, UTM mempunyai hemat, penyelesaian dan pemikiran yang mungkin berbeza daripada kebiasaan.
UTM tidak hanya berfokus untuk mencapai kecemerlangan menerusi penarafan universiti global semata-mata. Sebaliknya, UTM turut memberikan pemberatan seimbang untuk sisi-sisi dimensi kecemerlangan berbeza, terutamanya membabitkan Kebolehpasaran Graduan (Graduate Employability, GE), Graduan Berpendapatan Premium (Ijazah Pertama) dan Tahap Kemahiran Tinggi.
GE UTM 2023 ialah 100 peratus. Pencapaian ini telah menjadi satu sejarah baharu bagi UTM dan universiti awam Malaysia. Lazimnya, peratusan 100 peratus ini menjadi milik universiti swasta utama negara.
Tidak hanya itu, UTM turut mengungguli peratusan Graduan Berpendapatan Premium (Ijazah Pertama) sebanyak 18.5 peratus bagi tahun lalu dan muncul pada kedudukan pertama dalam kalangan semua universiti awam Malaysia. Hal yang serupa juga bagi kategori Tahap Kemahiran Tinggi, UTM berada pada kedudukan nombor satu dalam kalangan universiti awam pada 2023, dengan peratusan 85.4 peratus.
Terkini, UTM dipilih oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang pertama di Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun meluncurkan FAI pada 10 Mei lalu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semasa acara MY AI Nexus.
Kecemerlangan yang diraih oleh warga UTM ini sifatnya tampak menyeluruh atau versatil. Kecemerlangan begini menggambarkan nilai-nilai serba boleh warga UTM.
DIMENSI ‘P’
Universiti ini tidak hanya memfokuskan terhadap satu dimensi kecemerlangan sahaja, sebaliknya turut memajukan warganya dalam pelbagai dimensi ‘P’, khasnya pengajaran, penyelidikan, penulisan, pengkomersialan atau perundingan dan perkhidmatan kepada watan.
Sudut pandangan UTM ialah pemerkasaan nilai-nilai ‘P’ ini akan secara langsung melonjakkan pencapaian universiti, baik penarafan global, kebolehpasaran graduan, kecemerlangan staf, mahupun kecemerlangan pelajar.
UTM mahu terus memperkukuhkan nilai-nilai deretan ‘P’ ini sebagai pasak utama yang dapat menjamin kelangsungan universiti pada masa kini dan masa depan.
Justeru, kecemerlangan versatil yang UTM raih khasnya bagi tahun 2023 dan 2024 adalah bukti komitmen UTM dalam menjayakan agenda pendidikan tinggi negara.
UTM akan terus memainkan peranan strategik dan signifikan dalam pelbagai peringkat dan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak, khasnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Johor dan kerajaan negeri lain, pihak industri, ahli-ahli komuniti dan agensi luar negara.
Berbekalkan Pelan Strategik enVision UTM 2025, universiti ini akan dipandu untuk terus cemerlang dalam segenap segi dan meraih kejayaan yang dapat membanggakan negara serta memacu pembangunan sektor pendidikan tinggi Malaysia.
Segala usaha ini dibuat atas slogan keramat universiti ini, ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’. UTM, menginovasi penyelesaian demi kemaslahatan masyarakat, negara dan sarwajagat.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).











