Pyanhabib sahabat setia, selalu pertahankan saya - M. Nasir - Utusan Malaysia

Pyanhabib sahabat setia, selalu pertahankan saya – M. Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KLANG: Penyanyi dan komposer, Datuk M. Nasir menyifatkan Pyanhabib Rahman sebagai seorang sahabat yang setia.

Katanya, Allahyarham seorang yang lantang mempertahankannya ketika beliau berdepan kesulitan.

“Saya mengenali arwah sejak tahun 80-an. Apa yang boleh saya katakan, dia seorang kawan yang setia.

“Kalau ada apa-apa berlaku pada saya yang padanya tidak adil, dia akan pertahankan saya,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di Masjid As-Sobirin semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada malam Selasa di kediamannya, di sini kira-kira pukul 9.30 malam.

Keluarga mengesahkan Pyanhabib meninggal dunia kerana sakit tua.

Kali terakhir M.Nasir bertemu Pyan adalah ketika panggambaran video promosi konsert Cipta M.N45IR terbaharunya.

“Saya tidak terperanjat (dengan khabar pemergian Pyan) sebab saya kali terakhir jumpa dia sudah nampak tidak berapa sihat.

“Ketika kami rakam video promosi itu sepatutnya dia sebut ‘this is the time’ tapi dia lupa, dia sebut ‘what is the time’.

“Saya rasa dia lupa sebab nampak kelihatan sudah penat sangat. Tapi cara dia sebut itu seakan-akan memberi kesan kepada saya,” tambahnya.

Selain itu, M. Nasir terkilan kerana Pyann sepatutnya muncul melakukan persembahan dalam salah satu segmen yang berlangsung Ogos ini.

“Saya berasa kehilangan dan terkilan apabila beliau tidak dapat serta dalam konsert itu.

“Mengikut perancangan ada dia sepatutnya ada dalam konsert itu. Dia ada bahagian dekat situ,” katanya ringkas.

M Nasir pernah berlakon bersama arwah dalam filem Kembara Seniman Jalanan yang diterbitkan pada 1986.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×