GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tohoi yang bakal tenggelam dengan projek pembinaan Hidroelektrik Nenggiri berharap projek tersebut berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual, dua tahun lagi.
Penduduk Pos Tohoi, Ajeh Baharom, 51, berkata, penduduk yang terlibat tidak sabar untuk melihat penempatan baharu dan kemudahan yang dijanjikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada mereka.
“Di Pos Tohoi terdapat lebih 800 penduduk dan kami berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar seperti dirancang.
“Kami berharap penempatan baharu di Kuala Yai dilengkapi kemudahan infrastruktur termasuk jalan raya lebih baik berbanding Pos Tohoi untuk kelangsungan hidup anak serta cucu kami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Jenny Adik memberitahu, penduduk di penempatan terbabit telah maklum tentang projek berkenaan dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan.
Menurutnya, mereka dimaklumkan kerja-kerja pembinaan rumah serta ladang untuk Orang Asli di Pos Tohoi dan Pos Pulat sedang giat dilaksanakan.
“Kami berharap janji-janji akan ditepati termasuk peluang pekerjaan kepada penduduk.
“Hak masyarakat Orang Asli untuk mendapat penempatan baharu, tanah kebun dan elaun sara hidup seperti dijanjikan harus ditunaikan sebelum Pos Tohoi tenggelam,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menelan kos RM5 bilion bakal memberi manfaat besar terhadap pembangunan Kelantan.
Projek berkenaan dijangka siap pada 2026. – UTUSAN











