PUTRAJAYA: Isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway dijangka dapat diselesaikan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta sedia ada yang akan dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan dibincangkan menerusi mesyuarat Kabinet hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Satu memorandum bersama oleh Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad) dan Menteri Pendidikan Tinggi (Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir) dibentangkan dan diputuskan, maka isu Parallel Pathway ini kita lihat akan dapat diatasi.
“Nanti akan ada pembentangan satu pindaan RUU yang akan dibawa ke Parlimen, namun untuk perincian mengenai aspek penyelesaian bagi isu ini saya minta rujuk sama ada dengan Menteri Kesihatan atau Menteri KPT,” katanya menerusi sidang akhbar mingguna di sini hari ini.
Bagaimanapun Fahmi tidak mendedahkan dengan lebih lanjut berhubung isi kandungan memorandum yang telah diputuskan itu.
“Dalam penjelasan saya minggu lalu saya ada sebut isu pokok disini melibatkan bidang kuasa di antara dua badan iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), yang akan dibentangkan nanti adalah untuk merungkai permasalahan ini.
“Isunya adalah antara dua agensi, jika kita membawa pindaan RUU ini kepada Parlimen ia akan membantu menyelesaikan perkara itu dan kita perlu tunggu sehingga ia benar-benar dibentangkan, saya tidak boleh dedahkan,” ujarnya.
Pada 29 Mei lalu, media melaporkan beberapa pindaan mungkin dilakukan terhadap undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway.
Isu Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila MMA meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Ia selepas MMC menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.
Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program Parallel Pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks. – UTUSAN











