SAUDARA PENGARANG,
BEBERAPA minggu lalu, ruangan Forum Utusan Malaysia menyiarkan mengenai bangunan panggung wayang lama, Sri Temerloh yang terbiar sejak hampir 40 tahun.
Terdapat sebuah lagi panggung wayang lama, panggung wayang REX di bandar Mentakab yang juga mengalami nasib yang sama seperti Sri Temerloh. Bangunan ini mungkin juga sudah terbiar hampir 40 tahun. Ia merupakan salah sebuah dari tiga buah panggung wayang di dalam bandar Mentakab.
Bandar Mentakab merupakan ‘bandar kembar’ kepada Temerloh yang juga merupakan bandar kedua pusat komersial, taman-taman perumahan dan pejabat-pejabat kerajaan. Bandar ini bakal terletaknya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran kawasan industri.
Bangunan usang bekas panggung wayang REX ini terletak di hujung Jalan Tun Razak menghala ke Kampung Tanjung Kerayong selain tidak begitu jauh dari Pejabat Cawangan Majlis Perbandaran Temerloh (Cawangan Bandar Mentakab).
Suatu ketika dahulu terdapat Stesen Bas Bandar Mentakab bersebelahan dengan bangunan ini sebelum berpindah ke tempat lain. Kini bekas tapak stesen bas tersebut adalah deretan beberapa buah kedai makan.
Pihak berwajib pastinya mengetahui pemilik bangunan dan pemilik tanah berkenaan. Walaupun bentuk muka bumi tanah terletak di lereng tebing dan tidak begitu rata, mungkin boleh di tambak untuk pembangunan lain atau lebih baik jika bangunan ini dirobohkan sahaja jika tidak sesuai untuk pembangunan semula.
Kami risaukan jika bangunan ini dibiarkan kosong dikhuatiri akan di salah guna untuk kegiatan tidak sihat seperti menjadi tempat penagihan dadah dan sebagainya.-UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang










