KANGAR: Tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan seorang imam, direman lima hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran semula pernikahan di negeri ini.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa lokasi sekitar Kangar semalam.
Perintah reman sehingga 9 Jun ini dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Pegawai kanan JAIPs berusia 45 tahun itu ditahan sekitar pukul 4 petang di pejabat JAIPs, manakala dua lagi suspek, imam berusia 52 tahun dan anaknya yang juga pemilik syarikat, 25, ditahan kira-kira pukul 6 petang hari sama di pejabat SPRM Perlis.
Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati pemilik syarikat berkenaan disyaki membayar RM1.183 juta kepada pegawai JAIPs tersebut sejak April 2022 hingga Jun 2023.
Katanya, siasatan juga mendapati kesemua suspek turut terlibat dalam urusan mendaftarkan perkahwinan di negara ini bagi pasangan yang bernikah di luar negara.
“Kesemua suspek disyaki terlibat dalam urusan pendaftaran pernikahan yang tidak mengikut prosedur ditetapkan seperti pasangan tidak bermastautin mengikut tempoh seperti sepatutnya.
“Siasatan juga mendapati terdapat kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar selain pendaftaran pernikahan tidak melalui prosiding mahkamah syariah,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, pasangan yang ingin mendaftarkan perkahwinan akan membayar RM5,000 kepada syarikat perunding milik anak imam itu, dan wakil syarikat akan membayar denda RM2,000 kepada jabatan melalui pegawai JAIPs berkenaan.
Katanya, suspek utama tersebut dipercayai bekerjasama dengan dua lagi suspek iaitu imam masjid dan anaknya yang bertindak sebagai perunding bagi menguruskan pernikahan di Perlis.
“Siasatan awal kami pada waktu ini mendapati, bagi setiap permohonan nikah terutama untuk pasangan bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan semula pernikahan di negara ini akan berhubung dengan syarikat suspek ketiga (anak imam).
“Syarikat yang beroperasi di Kangar, akan meminta pasangan yang mahu mendaftarkan semula pernikahan bayaran sekitar RM5,000. Daripada jumlah itu, RM2,000 akan dibayar kepada suspek utama yang bertugas di JAIPs sebagai denda.
“Bakinya akan dibahagikan antara mereka dengan bayaran dibuat melalui akaun peribadi dan syarikat.
“Kesemua suspek disyaki terbabit dalam urusan pendaftaran pernikahan tidak mengikut prosedur ditetapkan seperti pasangan tidak bermastautin mengikut tempoh seperti sepatutnya,” katanya.
Kata sumber itu lagi, pihaknya percaya suspek utama mengaut keuntungan lebih RM1 juta hasil urusan berkenaan yang dijalankan bermula April 2022 hingga Jun tahun lalu.
“Malah, siasatan awal kita juga percaya bahawa imam masjid itu dan anaknya turut mengaut keuntungan melebihi suspek utama. Siasatan bagaimanapun masih terus dijalankan untuk kes ini mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Mohd. Nor Adha Ab. Ghani ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










