MOSCOW: Rusia mendakwa negaranya sudah mendaftarkan vaksin Covid-19 pertama di dunia bagi haiwan.
Langkah itu penting untuk mencegah mutasi terhadap haiwan.
Katanya, pengeluaran vaksin itu secara besar-besaran akan bermula pada April.
Agensi pemantau pertanian Rosselkhoznadzor memaklumkan dalam satu kenyataan, vaksin yang dikenali sebagai Carnivak-Cov telah diuji pada Oktober tahun lalu terhadap anjing, kucing, serigala serta haiwan lain dan ia terbukti efektif.
“Haiwan terlibat ujian klinikal yang disuntik vaksin itu telah menghasilkan antibodi terhadap koronavirus dalam semua kes.
“Ini adalah vaksin pertama di dunia dan satu-satunya produk menangani virus Covid-19 terhadap haiwan,” kata Timbalan Ketua Rosselkhoznadzor, Konstantin Savenkov.
Jelasnya, penghasilan vaksin itu akan membantu mencegah mutasi terhadap haiwan.
“Menurut saintis warga Rusia, penggunaan vaksin boleh mencegah penghasilan mutasi virus,” katanya. – AFP










