Kontena Israel cuba masuk sempadan Perlis diarah patah balik

Kontena Israel cuba masuk sempadan Perlis diarah patah balik

SEBUAH lori berpendaftaran Thailand membawa kontena tertera nama ZIM di ICQS Padang Besar diarah berpatah balik ke Thailand Ahad lalu.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sebuah kontena tertera logo ZIM iaitu syarikat perkapalan berpangkalan di Israel dikesan cuba memasuki negara ini melalui laluan darat di Perlis pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, lori kontena tersebut yang membawa muatan dagangan ayam sejuk beku yang baharu tiba dari sempadan Malaysia-Thailand itu berjaya dihalang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum diarah berpatah balik dengan segera.

Kontena berkenaan dikesan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas melalui terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mengesan kontena digunakan berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena itu.

“Oleh itu, lori terbabit ditahan bagi mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut. Hasil semakan bersama pihak agensi kerajaan lain mengesahkan kontena itu adalah dilarang memasuki negara ini kerana dipercayai milik syarikat berpangkalan dari Israel,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan siasatan segera dilakukan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri di Johor.

Ia susulan isu tersebut yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad mengenai keresahan orang ramai berhubung kewujudan kontena dari Israel di pelabuhan terbabit.

Tambah Ismail, pihaknya segera mengarahkan lori kontena berisi barang dagangan berkenaan berpatah balik ke negara jiran pada hari sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN