KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Kuala Terengganu berpendirian, tohmahan yang dilemparkan oleh pengasas dan Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown terhadap Sultanah Nur Zahirah mewujudkan persepsi tidak baik dan menjejaskan reputasi Sultanah Terengganu.
Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri berpuas hati, tindakan memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku `The Sarawak Report – The Inside Story of 1MDB Expose’, mencerminkan sikapnya yang tidak menghormati Institusi Diraja walhal Sultanah Terengganu berkedudukan istimewa dan dipandang tinggi oleh rakyatnya.
Menurut Nik Mohd Tarmizie, tohmahan itu dibuat terhadap Sultanah Nur Zahirah yang juga permaisuri kepada Sultan Terengganu.
“Berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan, mahkamah berpuas hati bahawa kata-kata tohmahan terhadap Sultanah Terengganu berunsur fitnah yang boleh menyebabkan nama baik dan reputasi baginda tercemar.
“Perkataan tohmahan tersebut secara langsung telah mengaitkan penglibatan Sultanah Nur Zahirah dengan individu bernama Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho) yang disyaki terlibat dengan skandal 1MDB dan secara tidak langsung mencemarkan nama baik Sultanah Terengganu dalam skandal terbesar negara ini,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam penghakiman bertulis ketika mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun terhadap Clare, 65, kerana memfitnah Sultanah Nur Zahirah.
Naratif pendakwaan menyatakan, Sultanah Terengganu tidak pernah pada bila-bila masa terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam apa-apa urusan pentadbiran kerajaan khususnya penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) atau pada bila-bila masa mengenali ataupun mempunyai sebarang hubungan dengan Jho Low.
Beliau turut berpendirian, warganegara Britain itu sendiri memilih untuk tidak menghadiri perbicaraan dan tidakan itu mengetepikan haknya untuk dilindungi di bawah Perlembagaan.
“Kegagalan menghadiri perbicaraan menggambarkan sikapnya yang tidak menghormati sistem perundangan negara walhal Perlembagaan secara jelas melindungi hak individu.
“Oleh kerana perbicaraan dijalankan secara `in absentia, mahkamah tiada pilihan untuk mensabit dan menghukumnya,” ujar Nik Mohd. Tarmizie dalam alasan penghakiman yang diperolehi oleh pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.
Nik Mohd. Tarmizie selanjutnya berpuas hati, reaksi Clare yang melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan setelah berkomunikasi dengan pegawai penyiasat dan hanya mewakilkan peguam bela melalui lantikan secara jauh bagi menfaikan notis usul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menunjukkan tindak tanduknya dalam kes itu.
Pada 7 Februari lalu, Nik Mohd. Tarmizie mendapatinya bersalah pada prosiding yang dijalankan secara ‘in absentia’ (tanpa kehadiran) di bawah Seksyen 425A Kanun Prosedur Jenayah.
Clare yang beralamat di United Kingdom (UK), berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 8 pagi, 14 September 2018 di Lot 60048, Taman Chendering Utama, Kuala Terengganu.
Clare merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dan Mahkamah Tinggi Kuala Terenggau menetapkan 6 Jun ini untuk pengurusan kes.










