Penyakit diabetes atau kencing manis memerlukan penjagaan dan rawatan berbentuk peribadi bagi memastikan kejayaan dalam mengawal komplikasinya.
Ketua Kluster Pasaran Matang Asia Pasifik, Penjagaan Diabetes Roche, Bryan Koh berkata, ia termasuklah pengurusan daripada segi diet atau pemakanan, nutrisi atau khasiat pemakanan, perubatan, tahap stress, berat badan dan aktiviti fizikal berbeza antara seorang individu dengan individu lain.
“Diabetes ini penyakit yang rumit untuk dikawal tanpa bantuan atau sokongan daripada pihak lain. Keadaan itu memerlukan pesakit dengan diabetes (PWD) merubah perubahan tingkahlaku yang sukar dicapai dengan mudah.
“Malah, ‘bagaimana’ setiap pesakit menyesuaikan diri dengan terapi dan mengubah suai gaya hidupnya juga, perlu diambil kira,” katanya pada forum Pengurusan Bersepadu Diabetes: Bersatu Mampu Menguruskan Diabetes Lebih Baik, anjuran Roche Diagnostic Malaysia, baru-baru ini.
Turut serta, Prof. Madya Perubatan dan Ketua Unit Penjagaan Diabetes, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Lim Lee Ling dan Presiden Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan Jururawat, Yong Lai Mee.
Forum berkenaan bertujuan memudahkan pengurusan diabetes dan memperkasakan PWD dalam meningkatkan kualiti hidup dengan pendekatan Pengurusan Diabetes Peribadi bersepadu (iPDM).
Pengurusan secara peribadi lebih baik berbanding memaksa PWD mengikut terapi perubatan sehingga akhirnya mereka putus asa kerana tidak kira berapa banyak dilakukan tetapi kadar gula masih tinggi.
Koh berkata pesakit perlu diberi motivasi dan diperkasa mengawal diabetes.
Bagi mencapai tujuan itu, mereka perlu diberikan pendidikan dan digalakkan mengambil langkah mengawal kadar glukos dalam darah.
“Ia bukan mengenai pengambilan ubat semata-mata, sebaliknya kunci utama adalah memahami setiap pesakit secara individu dan paling penting, memahami mereka sebagai seorang insan,” katanya.
Kerajaan membelanjakan banyak kos melawan diabetes tetapi setiap kali keluar statistik, jumlah pesakit kian bertambah.

Kaedah rawatan umum menyebabkan pesakit tiada motivasi, tidak peduli dengan diabetes kerana hidup mereka dianggap singkat lalu makan apa saja yang diingini.
“Pengurusan diabetes membabitkan pelbagai bidang. Tiada pilihan lain melainkan bekerjasama antara satu sama lain bagi mencegah daripada lebih banyak komplikasi lain,” katanya.
Tambah Koh, semuanya bertitik tolak daripada pendidikan mengenai diabetes bagi meningkatkan kesedaran mengawal dan menguruskan penyakit itu dalam kalangan PwD dan masyarakat.
“Terdapat keperluan pendidik diabetes atau jururawat khusus dalam bidang ini untuk membimbing pesakit. Ada ramai jururawat umum tetapi bukan semua berkebolehan menguruskan diabetes.
“Pengurusan yang baik secara tidak langsung memperkasa pesakit memahami dan menguruskan diabetes dengan lebih baik bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan membolehkan mereka menjalani aktiviti seharian seperti orang lain,” katanya.
SOROK SEBAB STIGMA
Sementara itu, Dr. Ling berkata, doktor dan penyedia kesihatan perlu dilatih memberi rawatan secara peribadi kepada PWD kerana diabetes penyakit kronik jangka masa panjang.
Tanggungjawab berkenaan bukan 100 peratus atas bahu pesakit tetapi daripada doktor juga.
Dr. Ling berkata, stigma turut menyebabkan pesakit mengabaikan pengambilan ubat kerana mereka tidak mahu rakan sepejabat tahu mereka ada diabetes.
“Tidak membawa ubat ke pejabat dan kalau bawa pun, mereka akan mencucuk insulin di bilik air.
“Keadaan itu menyebabkan pesakit tidak memeriksa kadar gula apabila keluar makan bersama rakan kerana tidak mahu kawan-kawan tahu.
“Semua ini perlu diambil kira dalam penjagaan dan pengurusan diabetes termasuk budaya kerja dan gaya hidup mereka.
“Sikap menyalahkan PWD, menyebabkan mereka tidak bersungguh-sungguh mengawal diabetes,” tegasnya yang turut menegur mengenai penggunaan bahasa negatif seperti tidak memantau gula dalam darah, tidak mencapai sasaran, tidak menjaga pemakanan dan sebagainya kerana ia menyebabkan pesakit tidak bersemangat untuk berubah.
Penyedia kesihatan juga perlu memberikan PWD motivasi. Bukan hanya mendidik sekali kemudian biarkan mereka urus semuanya sendiri di rumah. Ahli keluarga yang tinggal bersama juga perlu menguruskan pesakit.
“Jika PWD terbangun tengah malam walaupun tidur selama lapan jam, masih rasa mengantuk, sakit kepala, bila bangun katil basah, semua ini adalah gejala kadar gula rendah.
“Sekiranya warga emas tinggal sendirian tanpa anak, aplikasi digital boleh membantu memantau kadar gula mereka. Gunakan meter pengukur gula yang boleh dihubungkan dengan aplikasi dalam telefon,” katanya.
Stres dan kurang tidur penyumbang diabetes kerana ia mempengaruhi hormon.
Jalani ujian saringan diabetes sekiranya mempunyai sejarah keluarga seperti ibu bapa menghidap diabetes atau mereka sendiri ada sejarah diabetes ketika hamil, tekanan darah tinggi, tinggi kolesterol, berat badan berlebihan, sindrom PCOS terutama jika haid tidak teratur dan sukar hamil.
“Sebelum ini, usia ujian saringan diabetes untuk 40 tahun tapi sekarang, trend mendapati diabetes turut berlaku dalam usia semakin muda dan usia saringan diabetes diturunkan kepada 35 tahun,” kata Dr. Ling.
Perlu pendidik diabetes
LEBIH ramai pendidik diabetes diperlukan bagi membantu mereka yang hidup dengan diabetes mengawal pelbagai komplikasi akibat penyakit berkenaan.
Lai Mee berkata, pendidik diabetes berperanan mempengaruhi PWD membuat pilihan gaya hidup lebih sihat.
Mereka berperanan dalam menghubungkan anggota penjagaan kesihatan dengan maklumat untuk penyesuaian terapi serta penjagaan pesakit yang lebih baik.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada data tertentu mengenai jumlah pendidik diabetes di negara ini, malah tiada definisi berkaitan peranan pendidik diabetes.
“Mereka yang mendapat latihan rasmi dalam penjagaan dan pengurusan diabetes kira-kira 1,000 orang. Namun, mereka tidak diletakkan dalam kedudukan sesuai di klinik atau hospital.
“Setiap dari kita mempunyai peranan dalam membimbing pesakit meniti perjalanan pengurusan diabetes mereka. Bukan mudah mengharungi laluan yang dipenuhi cabaran fizikal dan psikologi.
“Lantaran perjalanan setiap orang itu berbeza, kita perlu menyesuaikan terapi rawatan mengikut keperluan mereka. Dalam pengurusan diabetes, tiada istilah ‘satu solusi untuk semua’,” katanya.
Sebagai jururawat pendidik diabetes, mereka bertuah kerana dapat mendampingi penghidap diabetes dan penjaga mereka dalam mendidik, memberi galakan serta memotivasikan mereka supaya memahami regim pengurusan diabetes dan mematuhinya.
Lai Mee berkata, apabila seseorang disahkan mengalami diabetes, ada takut makan ubat kerana beranggapan ubat dan insulin akan merosakkan buah pinggang hingga ada yang sanggup menundakan rawatan di hospital.
“Segelintir beranggapan diabetes tidak serius terutama dalam kalangan orang muda. Mereka fikir mereka kuat, sihat dan merasakan komplikasi diabetes tidak akan berlaku ke atas diri mereka.
“Tapi mereka tidak tahu diabetes boleh menghancurkan badan mereka. Bila mereka menyedarinya, ia sudah terlambat. Jadi, pendidikan memainkan peranan penting dalam memperkasakan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, ujarnya orang ramai juga jangan takutkan PWD sampai mereka tidak mahu makan nasi kerana takut kena potong kaki.
“Ramai menyalahkan pesakit dan menekan mereka dengan soalan bacaan gula yang menyebabkan mereka tertekan.
“Makanan hanya salah satu faktor. Ada banyak faktor lain menjadi punca diabetes. Berikan sokongan dengan mengatakan mereka melakukan yang terbaik. Diabetes bukan penghujung dunia, ramai yang menghidap diabetes.
“Saya galakkan PWD menyertai kumpulan sokongan dan forum dalam sosial media yang memberikan jawapan kepada persoalan mereka.
“Tidak perlu terlalu memberi tumpuan pada satu bacaan tinggi, sebaliknya pantau corak tahap gula untuk hari itu. Berdasarkan corak berkenaan, doktor akan membuat pengubahsuaian rawatan,” katanya.










