PETALING JAYA: Para pelabur dijangka akan mengambil sikap tunggu dan lihat pada minggu ini, susulan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,600 mata boleh dianggap sebagai paras rintangan dan psikologi, kata penganalisis ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini memandangkan banyak data yang akan keluar pada minggu ini dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan.
“Oleh itu, indeks FBMKLCI dijangka berlegar sekitar 1,590 hingga 1,600 mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai prestasi FBM KLCI yang mengalami penyusutan enam hari berturut-turut, ini berkemungkinan berlaku kegiatan mengambil untung dan ketidakpastian kepada suasana kadar faedah di AS dijadikan pemangkin kepada keputusan tersebut.
Katanya, data ekonomi AS pada minggu ini agak banyak iaitu terdiri daripada sentimen perniagaan ISM Index for Manufacturing and Services serta data pasaran buruh seperti ADP Employment Change, Job Opening and Labour Turnover Survey (JOLTS), Nonfarm Payroll (NFP) serta kadar pengangguran.
“Pada minggu hadapan pula, mesyuarat FOMC akan berlangsung pada 11 dan 12 Jun.
“Justeru, sentimen pasaran menjadi berhati-hati. Bagi yang telah mencatatkan keuntungan sebelum ini, mereka akan menjual pegangan bagi merealisasikan keuntungan sebelum ini,” katanya.
Turut berpandangan sama, penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Bursa Malaysia dijangka berada sekitar 1,600 mata pada minggu ini.
“Ia disebabkan pada Khamis dan Jumaat ini akan dapat data yang jelas tentang situasi ekonomi semasa di AS,” katanya.
Tambahnya, kejatuhan mata indeks FBM KLCI ketika ini dijangka disebabkan ketidaktentuan situasi di peringkat global terutamanya di AS yang tidak menunjukkan tanda untuk menurunkan kadar faedah.
“Ini sekali gus memberi tekanan kepada aktiviti dagangan di China dan rantau Asia. Selain itu, pelabur menunggu data-data dan pengumuman yang lebih jelas dan konkrit dari AS sebelum merancang strategi pelaburan mereka,” katanya.
Terdahulu, Pencarta Maybank Investment Bank Bhd, Nik Ihsan Raja Abdullah berkata, Bursa Malaysia dijangka mengalami tekanan menurun yang berterusan pada minggu akan datang berikutan pelabur kekal berwaspada, dengan menumpukan kepada sektor defensif dan mengelakkan pelaburan berisiko.
FBM KLCI mungkin bergelut untuk memburu momentum meningkat melainkan terdapat perkembangan positif yang tidak dijangkakan daripada data ekonomi global atau dalam negara.
“Berdasarkan perkembangan pasaran global baru-baru ini, indeks petunjuk pasaran dijangka berdepan minggu yang mencabar. Aliran menurun berterusan yang dilihat pada indeks selain sentimen pasaran yang berhati-hati, memperlihatkan konsolidasi pasaran yang berterusan,” katanya.
Nik Ihsan berkata, prestasi FBM KLCI baru-baru ini yang kelihatan mengalami penyusutan enam hari berturut-turut dan dagangan berhati-hati, mencerminkan kebimbangan yang berterusan terhadap hala tuju kadar faedah global dan tekanan inflasi.
Jumaat lalu, Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih rendah apabila menurun 16.31 mata kepada 1,596 daripada 1,605.35 semasa ditutup pada Khamis.
Bagaimanapun, pada dagangan tengah hari, FBM KLCI menaik 1,602.36 sebelum ditutup pada 1,596 mata di akhir dagangannya.-UTUSAN










