UiTM sasar 51,500 kemasukan baharu - Utusan Malaysia

UiTM sasar 51,500 kemasukan baharu

Mahasiswa UiTM
RADUAN Che Rose (kiri) menandatangani poster reruai Kolej Alam Bina ketika melawatnya pada ESKU 2024 dekat Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) merancang untuk menerima 51,500 pengambilan baharu bagi kemasukan mahasiswa sesi 2024/2025 ke universiti itu dan kesemua 34 kampusnya di seluruh negara.

Pengambilan tersebut dikatakan selaras dengan kadar peratusan kebolehpasaran graduan UiTM yang meningkat kepada 89.4 peratus berbanding tahun 2022 dan hampir mencapai 90 peratus sasaran ditetapkan bagi 2025.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, ketika ini universiti terbesar itu menerima 550,000 pendaftaran bagi semakan kemasukan ke program-program yang dibuat secara dalam talian.

“Angka tersebut sangat tinggi. (Pengambilan kali ini) kita hanya mengambil 51,500 mahasiswa baharu dan jumlah sasaran itu adalah jauh berkali ganda berbanding pendaftaran semakan kursus yang diterima,” katanya ketika ditemui pada Perasmian Ekspo Selangkah Ke UiTM (ESKU) 2024, semalam.

Bagaimanapun, pengambilan tersebut rendah berbanding tahun lalu apabila UiTM menyasarkan kemasukan seramai 65,000 siswa bagi 2023/2024 yang pernah menjadi angka terbesar dalam sejarah kemasukan mahasiswa baharu ke universiti itu.

Namun, sasaran pengambilan sehingga 51,500 itu disifatkan tinggi berbanding tahun-tahun terdahulu apabila universiti itu mengunjurkan pengambilan sekitar 30,000 hingga 40,000 pelajar dan menerima kemasukan kira-kira 25,000 pelajar setiap semester.

Selain itu, semakan jumlah mahasiswa di universiti itu mendapati, kira-kira seramai 166,070 siswa masih menuntut dan jika ditambah dengan pengambilan baharu dan graduasi, UiTM akan memperoleh jumlah siswa mencecah 200,000 orang.

Dalam pada itu, Raduan turut mengulas cadangan penubuhan kursus baharu yang tertumpu kepada bidang kecerdasan buatan (AI), bagaimanapun beliau mahu UiTM tidak terburu-buru kerana ia memerlukan kepakaran mencukupi.

Menurutnya, langkah mewujudkan kursus baharu atau memasukkan elemen yang unik seperti AI dalam kursus sedia ada memerlukan penilaian khusus setiap tiga hingga lima tahun membabitkan fakulti dan badan profesional berkaitan.

“Kita perlu melihat program-program untuk keperluan negara yang mana kita mengambil tanggungjawab, bukan setakat program-program untuk keperluan industri.

“Kepakaran-kepakaran dalam bidang yang unik boleh juga kita wujudkan yang mana setiap fakulti dibenarkan menilai semula program mereka, di situlah elemen AI boleh ditambah baik dan dimasukkan semasa semakan kurikulum tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×