PETALING JAYA: Pengendali Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris mengakui masih banyak kelemahan dalam pasukannya terutama jentera serangan yang tumpul meskipun memulakan kempen Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship dengan langkah kanan.
Dibarisi pemain berpengalaman, juara bertahan saingan liga berkenaan mudah membenam cabaran UiTM United 3-0 pada aksi di Stadium UiTM Shah Alam, kelmarin.
Katanya, beliau berpuas hati dengan keputusan yang dikecapi oleh pasukannya walaupun mengharapkan jumlah jaringan yang lebih besar.
“Kalau lihat dari segi persembahan, kita mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol tetapi kita mensia-siakan peluang itu terutama pada babak pertama.
“Kita patut kekal menyerang lagi tadi kerana kita mempunyai kelebihan seorang pemain, sepatutnya kita menghantar bola ke hadapan namun kita asyik menghantar bola ke belakang, itu antara perkara yang perlu kita perbaiki,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi itu, gol Imigresen FC dijaringkan Hazim Abu Zaid pada minit ke-31 sebelum pemain import mereka, Thankgod Michael menjaringkan gol hasil sepakan penalti pada minit ke-45.
Kapten pasukan Imigresen FC, Nasriq Baharom menggandakan jaringan pada minit ke-56 hasil tandukan selepas UiTM United bermain dengan 10 orang susulan kad merah dilayangkan kepada Wan Muhammad Irfan pada babak kedua.-UTUSAN










