Tuduhan terhadap UiTM tidak wajar

Tuduhan terhadap UiTM tidak wajar

Kapsyen: Kaum Melayu masih lagi perlukan institusi khusus seperti UiTM untuk menggilap kaum Melayu dan bumiputera lepasan menengah yang cemerlang. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CADANGAN supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan program bersama universiti lain bagi menyelesaikan program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran melanggar Perkara 153 Perlembangaan Persekutuan yang menggariskan tentang kedudukan serta hak bumiputera di Malaysia. Sesetengahnya pula melabel institusi ini sebagai ‘ akademik aparteid’  yang membawa maksud sistem diskriminasi secara ras dan pengasingan kaum. 

Semua ini adalah ketidakfahaman dan kekurangan pengetahuan tentang hak dan keistimewaan kaum Melayu dan menampakkan sesetengahnya cuba mempertikaikan kontrak sosial yang dipersetujui dahulu serta prasangka dan persepsi buruk terhadap keistimewaan dan hak yang dinikmati oleh kaum Melayu dan bumiputera. Saya berharap hak dan keistimewaan yang dinikmati kaum Melayu dan bumiputera ini akan kekal selagi ada kaum Melayu dan bumiputera di negara ini dan tiada sesiapa pun berhak mempersoalkannya.

Melabel UiTM sebagai akademik aparteid adalah sangat tidak wajar kerana kerajaan turut merelakan kewujudan sekolah vernakular walaupun sekolah ini tiada dalam Perlembagaan Persekutuan. Program untuk membantu dan menambah bilangan profesional kaum Melayu dan bumiputera perlulah disokong dan didokong kerana kaum ini masih lagi perlukan institusi khusus seperti UiTM untuk menggilap kaum Melayu dan bumiputera lepasan menengah yang cemerlang.

Yang menjadi kemusykilan mengapa UiTM diminta mengadakan program bersama dengan universiti lain kerana negara mempunyai banyak lagi universiti. Dengan puluhan ribu pelajar dan ratusan ribu graduan yang berjaya dikeluarkan oleh UiTM sejak penubuhannya puluhan tahun lalu, UiTM banyak melakar sejarah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa di samping berada sebaris dengan universiti ternama dunia. 

Kejayaan yang dikecapi UiTM mengukuhkan lagi bahawa universiti yang terhasil daripada Perkara 153 dan dilabel pula sebagai akademik aparteid inilah yang mengeluarkan sumber manusia yang berkhidmat kepada semua kaum di negara ini. – UTUSAN

JASA UITM

Temerloh, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×