MEKAH: Seorang jemaah haji yang meninggal dunia, Allahyarham Mohd. Zahir Ismail, 58, sempat melaungkan `Allahu Akbar’ sebelum rebah bersama isteri sebaik sahaja selesai melengkapkan tujuh pusingan tawaf.
Menurut isteri, Pauziah Othman, 58, dia ketika itu terkejut dengan situasi berkenaan segera melindungi suaminya yang dalam keadaan separuh sedar sebelum dibantu jemaah Malaysia serta individu lain.
Katanya, selepas beberapa minit, arwah kemudian dibawa ke salah sebuah hospital di Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada malam Rabu lalu.
“Kami baru saja tiba di Mekah dengan menaiki pesawat dari ibu negara pada masa itu. Selepas berehat beberapa jam, kami memulakan umrah pertama.
“Semasa tawaf itulah arwah ada kata yang dia sangat letih. Tetapi saya suruh dia bersabar dan beritahu supaya buat secara perlahan-lahan. Dia akhirnya gagahkan juga ikut tawaf. Saya masih ingat kedudukannya semasa tawaf di belakang saya sebelum terjatuh dan selepas itu barulah tahu dia rupa-rupanya terkena serangan jantung,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Arwah Mohd. Zahir merupakan jemaah kedua dari Malaysia yang meninggal dunia dan berasal dari Alor Setar, Kedah.
Beliau merupakan bekas tentera tiba di Mekah bersama isteri dan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Mekah.
Sementara itu kata Pauziah, dia dan arwah suami yang hidup bersama 26 tahun lalu tidak dikurniakan cahaya mata.
Selain itu katanya, arwah juga tidak mempunyai sejarah penyakit jantung dan tidak menunjukkan sebarang petanda awal sebelum meninggal dunia.
Dalam pada itu Pauziah berkata, arwah suaminya seorang yang taat kepada ibu, Zariah Musafa berusia 86 tahun.
“Arwah sering bergurau dengan ibunya. Malah, dia akan membersihkan ibunya terlebih dahulu sebelum ibunya memulakan solat. Memang arwah sangat rapat.
“Di samping itu, arwah juga tidak pernah merungut. Saya masih ingat lagi arwah sering hantar nasi dan lauk pada ibunya hampir setiap masa,” jelasnya. – UTUSAN











