AMBIL bidang fizik di sebuah universiti awam dalam negara. Di tahun empat, mahu cari tempat untuk latihan praktikal (latihan industri), namun amat sukar. Hampir berputus asa dibuatnya. Pensyarah pula tidak banyak membantu.
Akhirnya, dapat tempat di sebuah syarikat multinasional, namun bukan dalam bidang fizik, sebaliknya bidang pengurusan (lebih tepat perkeranian). Peluang diberikan sebab calon mempunyai kemahiran lain yang diperlukan segera oleh syarikat. Mahu tidak mahu, terpaksa terima, jika tidak pengajian terpaksa dilanjutkan. Sedangkan pinjaman pendidikan hanya untuk empat tahun.
Berjaya menamatkan latihan praktikal dan mencari pekerjaan dalam bidang fizik. Cari punya cari, tidak ada syarikat yang sedia menawarkan tempat. Jika ada yang memanggil temuduga, tidak tahu nak tempat di nama lulusan fizik. Akhirnya, kerja ditawarkan, tetapi tidak ada kaitan dengan bidang pengajian.
Memerah otak sepanjang empat tahun pengajian dalam bidang fizik, yang mana tidak ramai sanggup mengambil bidang itu, ternyata sia-sia. Ilmu yang diperoleh di universiti tidak dapat dipraktiskan. Hasrat untuk menyumbang kepada pembangunan negara juga tidak kesampaian.
Satu lagi senario, ambil bidang ukiran logam juga di sebuah universiti awam. Juga sukar untuk mencari tempat bagi menjalani latihan amali. Akhirnya terima tawaran. Ingatkan latihan berkaitan bidang pengajian, namun tidak. Akhirnya menamatkan latihan dan terpaksa melanjutkan tempoh pengajian. Kos pengajian tambahan, fikirkan kemudian.
Itu dua senario dihadapi oleh penuntut universiti awam di Malaysia dan menurut penuntut terbabit, tidak mendapat perhatian pihak universiti. Malah, dakwa mereka, Kementerian Pengajian Tinggi juga dikatakan tidak peka terhadap masalah dihadapi.
Menurut penuntut terbabit, ramai rakan mereka terutama dalam bidang sains tulen turut berdepan masalah, sukar menjadi tempat untuk menjalani latihan praktikal. Akhirnya, menjalani latihan praktikal di universiti sendiri. Matlamat sebenar latihan praktikal untuk mendedahkan penuntut dengan dunia sebenar industri ternyata tidak tercapai.
Kini, isu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak minat aliran sains dan teknologi menjadi kebimbangan. Ia susulan peratusan calon mengambil mata pelajaran elektif Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dalam tempoh tiga tahun ini pada tahap rendah di bawah 30 peratus. Jauh daripada sasaran dasar sains negara. Jika dibiarkan, perkembangan itu dibimbangi akan menyebabkan Malaysia mengalami kekurangan tenaga mahir tempatan.
Jika dihayati dua senario di atas, maka kurang minat pelajar terhadap STEM bakal berterusan pada masa hadapan. Kurang minat itu disumbangkan oleh dasar kerajaan yang ketika ini dilihat lebih memberi tumpuan kepada TVET. Mereka melihat pelbagai usaha dibuat oleh kerajaan untuk mengangkat TVET termasuk peluang kerja dan gaji yang lebih baik berbanding mereka.
Berbeza pelajar STEM, lebih tepat aliran sains tulen. Tidak banyak usaha dibuat untuk mengangkat graduan bidang-bidang berkenaan. Peluang pekerjaan di dalam negara untuk mereka terhad dan skim gaji juga tidak tinggi. Nak dapat gaji lebih tinggi, perlukan pengalaman dua tiga tahun. Mustahil untuk `freshie.’
Maka, ramailah bakat-bakat tempatan mencari peluang di luar, dan Singapura antara tumpuan. Selain peluang, gaji yang tinggi di negara itu menjadi penarik.
Maka, tidak hairanlah, perbincangan ibu bapa lepasan SPM antara lain, salurkan anak-anak kepada bidang yang menjanjikan masa depan iaitu peluang pekerjaan yang terjamin, selain minat mereka. Meskipun anak-anak mereka lulusan STEM dan lulus cemerlang, tetapi bidang itu bukan fokus ibu bapa untuk anak-anak mereka menyambung pengajian. Ini kerana, bidang STEM dilihat tidak menjanjikan ‘peluang sebenar’ setara dengan pengorbanan anak-anak menimba ilmu selama bertahun di menara gading. – UTUSAN










