MEMULAKAN keluarga dengan mengahwini duda, bukan sesuatu yang mudah. Ia boleh jadi menarik atau sebaliknya.
Sebelum membuat keputusan, perlu mempertimbangkan banyak perkara .
Benar, kisah yang lepas jangan dikenang. Tetapi penting bagi bakal isteri mengambil tahu beberapa perkara, termasuk sejarah perkahwinan, bilangan anak dan jaminan nafkah anda sebagai bakal isteri dan anak yang bakal dilahirkan.
Minggu ini saya kongsikan kisah Halina (bukan nama sebenar) yang terpaksa berdepan dengan bekas isteri suami yang gila talak hingga sanggup berbuat apa sahaja untuk menawan semula hati bekas suami.
Bekas isteri suami dikatakan sanggup melakukan perkara di luar kawalan sehingga sanggup menyihir bekas suami dan isteri baharu.
Dalam emelnya kepada saya baru-baru ini dia mengakui akibat tidak menyiasat latar belakang suami yang juga seorang duda anak tiga itu, dia merana.
Suami yang disangka setia akhirnya berpaling arah kepada bekas isteri.
Menceritakan semula detik hubungan dengan lelaki yang akhirnya menjadi suami itu, kata Halina mereka merupakan rakan sekerja.
Awalnya keluarga terutama kedua ibu bapanya kurang bersetuju bila mendapat tahu dia bakal bernikah dengan duda.
Namun disebabkan kesungguhan Munir mahu memperisterikannya, akhirnya mereka akur.
Mengimbas kembali kisah silam suami, semasa bercerai\ dengan bekas isteri, suami alami kemurungan dan hampir gila sebab bekas isteri ikut lelaki lain.
Hadirnya Halina dalam hidup Munir di saat lelaki itu sedang memerlukan sokongan.
“Awalnya saya tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya, namun entah kenapa perasaan kasihan yang wujud pada awalnya bertukar sayang,” tulisnya dalam kiriman emel itu.
Menurut Halina, selepas berkahwin Munir memintanya berhenti kerja demi menguruskan rumah tangga.
Kebetulan ketiga-tiga anak tirinya yang ketika itu berusia 8, 15 dan 17 tahun diletakkan di bawah penjagaan Munir.
Halina cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak tiri yang semakin meningkat remaja.
“Saya tidak mungkin menjadi pengganti ibu mereka. Namun berusaha ke arah itu untuk memberi kasih sayang yang diperlukan seorang anak,” tulis Halina dalam emelnya.
Dalam emelnya itu juga, dia turut memuji Munir adalah suami terbaik untuknya.
Dia menerima layanan selayaknya sebagai seorang isteri.
Setahun berumahtangga , pasangan ini diuji dengan orang ketiga iaitu bekas isteri suaminya sendiri.
Kata Halina, ketiga-tiga anak tirinya itulah yang bertanggungjawab terhadap kemunculan wanita itu kembali dalam hidup bapa mereka.
“Saya kecil hati dengan anak-anak tiri yang hanya baik di depan saya, rupa-rupanya dalam diam mereka merancang untuk menyatukan kembali ibu dan bapa mereka,” tulisnya.
Tulis Halina sejak kehadiran wanita itu dalam hidup mereka, suami semakin jarang berada di rumah terutama pada hujung minggu.
Rahsia suami berjumpa dengan bekas isteri terbongkar selepas anak bongsunya terlepas cakap tentang pertemuan dengan ibu mereka.
Awalnya, suami menafikan. Namun terpaksa berterus terang pada akhirnya selepas didesak. Suami mengakui bertemu bekas isteri bertujuan merapatkan hubungan anak dengan seorang ibu.
“Bodohnya saya ketika itu langsung tidak dapat menghidu kecurangan suami. Saya hanya memikirkan hubungan seorang ibu dan anak-anak. Tidak lebih daripada itu,’’ tulisnya.
Hari memasuki minggu, minggu menjengah bulan, Halina dapat merasakan perubahan dalam diri suami.
Dia sudah tidak lagi menerima layanan manja seperti awal perkahwinan.
Setiap kali bersama di ranjang, suami sering menolak dengan alasan keletihan.
Sikap dingin suami terhadapnya semakin ketara. Kemuncak kepada hubungan mereka adalah apabila pada suatu hari suami membawa bekas isterinya pulang ke rumah.
Tanpa rasa bersalah, suami menyatakan bahawa mereka berdua akan kembali bersama .
“Ketika itu saya bagai dipukau, Tidak ada sebarang bantahan dan menurut sahaja,” tulisnya. Kehidupan rumahtangga Halina bagaikan tiada kemanisan lagi.
Suami semakin jarang pulang ke rumah. Setiap kali pulang ke rumah, bagai panas punggung.
Dalam emelnya, Halina menulis dia hanya tersedar diri menjadi mangsa sihir apabila pulang ke kampung ketika menziarah ibunya yang sakit.
Melihat sosok tubuh semakin susut, membuatkan bapanya berasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku.
Seminggu berada di kampung, Halina sempat di bawa berjumpa dengan seorang ustaz yang mendakwa suaminya itu terkena sihir yang dihantar oleh seseorang untuk meruntuhkan
rumah tangganya.
“Perkara itu, menyebabkan saya kembali mendekatkan diri kepada Allah Taala.
“Kini, selepas hampir setahun, saya semakin pulih. Alhamdulillah,” tulisnya.
Menurut Halina, dia pernah bertanya kepada ustaz yang merawatnya, bagaimana kesudahan dirinya akibat sihir itu.
“Ustaz berkenaan berkata tiada kesudahan sebab selagi saya hidup, akan ada ruang untuk kena dan saya perlu terus berubat dan mendekatkan diri dengan Allah Taala,” tulisnya lagi.
Dalam Islam, mempelajari ilmu sihir adalah haram sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW bermaksud: Jauhilah tujuh jenis dosa besar
yang membinasakan.
Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu?. Sabda Baginda, menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita yang beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.’’ (HR Bukhari 2766).









