KUALA LUMPUR: SD Guthrie Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Sime Darby Plantation Bhd, berhasrat untuk mengembangkan penglibatan perniagaan solarnya dalam solar berskala besar (LSS) melalui pajakan tanah.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, syarikat itu telah mula memajak tanahnya daripada LSS1 pada 2018 membabitkan projek 20 megawatt (MW).
“Dan bila pergi LSS4, kita melihat peluang. Sebanyak 40 peratus LSS4 adalah tanah kami. Walaupun kami memajak, kami mencari tanah yang kurang produktif sebab kalau produktif, lebih baik kita tanam kelapa sawit.
“Jika ia kurang produktif, kami akan lihat pada pendapatan minyak sawit, berapa sehektar dan sudah tentu kami boleh meletakkan sewa pada kadar yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas pengumuman prestasi kewangan SD Guthrie pada suku pertama 2024 di sini hari ini.
Di bawah LSS4, penglibatan SD Guthrie ialah 12 tapak pajakan tanah untuk 336 MW yang bersamaan dengan 40 peratus daripada jumlah kuota LSS4.
Mohammad Helmy berkata, pada masa ini sumbangan hasil kepada kumpulan adalah sangat minimum.
“Melangkah ke hadapan, aspirasi kami adalah untuk membina aset kami sehingga ambang pertama ialah 1 gigawatt penjanaan kuasa dan ruang akan berkembang lebih cepat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“1 megawatt pelaburannya kira-kira RM2.5 juta ringgit, atas dasar projek tenaga boleh diperbaharui (RE), ia akan memberi pulangan satu digit yang tinggi bermakna lapan hingga sembilan peratus berdasarkan projek.
“Jika kita mahu 1 gigawatt (1,000 megawatt) pelaburan yang diperlukan adalah kira-kira RM2.5 bilion. Jika kita menggunakan dana pemegang saham pulangan akan menjadi lapan hingga sembilan peratus, tetapi jika kita tidak menggunakan sepenuhnya dana pemegang saham pulangan boleh mencapai sekitar 13 peratus,” katanya.-UTUSAN










