Lebih 30,000 OKU dijangka terima peluang pekerjaan

Lebih 30,000 OKU dijangka terima peluang pekerjaan menjelang 2025

HASSAN Saad (hujung kanan) ketika merasmikan majlis “Sejuta Kasih MyKu-Kiss” di DMG Food Industries Sdn. Bhd., Kampung Batu Muda di sini baru-baru ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) Malaysia menyasarkan 30,000 OKU di negara bakal diberi peluang pekerjaan sebelum 30 Jun 2025.

Ahli Dewan Negara mewakili OKU, Isaiah D. Jacob  berkata, seramai 50 orang OKU akan diambil bekerja tanpa mengikut sektor di bawah Dewan Perniagaan OKU, sebagai permulaan kepada penubuhan dewan tersebut.

“Demi memperjuangkan pengambilan tenaga kerja dalam kalangan OKU, kami merancang untuk menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan istimewa ini.

“Susulan itu, kami juga dalam perancangan untuk memperluaskan pekerjaan golongan OKU ke China.

“Setakat ini, kami sedang dalam proses menguruskan semua dokumen berkaitan dan akan menjalinkan kerjasama dengan China dalam masa terdekat,” katanya dalam majlis ‘Sejuta Kasih MyKu-Kiss di sini, semalam.

Pada majlis yang sama turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Dewan Perniagaan OKU dan DMG Food Industry Sdn. Bhd   yang merupakan antara inisiatif menawarkan peluang pekerjaan bagi golongan istimewa.

Dalam pada itu, beliau berkata, Dewan Perniagaan OKU ingin menawarkan akademik mengenai kesihatan, ekoran didapati pelajar cacat penglihatan mempunyai deria sentuhan yang sensitif.

“Dengan ini, kami memberi peluang golongan cacat penglihatan untuk mengambil kursus  kemahiran dalam rawatan Cina berkaitan dengan saraf.

“Selepas tamat menjalani kursus tersebut, mereka akan diberi peluang pekerjaan dan pada masa sama juga boleh membuka perniagaan dengan potensi kemahiran yang dimiliki,” katanya.

Mengulas pengambilan tenaga kerja OKU di negara ini, katanya, peluang pekerjaan golongan tersebut masih lagi terhad untuk sesetengah sektor.

Katanya, dalam persidangan di Dewan Negara sebelum ini, pernah menjanjikan 100 peratus pekerjaan daripada pelbagai sektor kepada golongan OKU. 

“Namun, kenyataan yang dimaklumkan itu setakat polisi sahaja, tetapi belum termaktub di dalam akta pekerjaan.

 “Ia tidak memaksa majikan untuk harus mengambil pekerja yang juga tergolong dalam kumpulan OKU. Sekiranya sudah termaktub di dalam akta pekerjaan, jadi perkara ini adalah mewajibkan seluruh majikan untuk mengambil tenaga OKU,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×