PETALING JAYA: Tiada lagi pilihan raya kecil (PRK) di peringkat Parlimen selepas 19 Disember 2025 berikutan tempoh Dewan Rakyat telah mencapai mandat selama tiga tahun.
Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan, pilihan raya hanya boleh diadakan jika berlaku kekosongan luar jangka seperti wakil rakyat meninggal dunia atau meletakkan jawatan dalam masa tiga tahun sebelum tarikh Dewan Rakyat terbubar secara automatik.
Justeru, tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu tujuh bekas wakil rakyatnya mengosongkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mencetuskan pelbagai persoalan sekiranya proses itu memakan tempoh sehingga 2025.
Soal berkenaan termasuk jika ada pihak membawa keputusan kekosongan kerusi di bawah undang-undang antilompat parti ke mahkamah atasan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tiada lagi PRK kerana kekosongan luar jangka dalam tempoh dua tahun sebelum tarikh Parlimen terbubar.
Sebaliknya kata beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya perlu mengadakan PRK setelah diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat sekiranya kedudukan kerajaan terjejas kerana kekurangan majoriti mudah dengan kekosongan tersebut.
Kata pakar Perlembagaan itu, beliau tidak menolak kemungkinan proses kekosongan enam kerusi dimenangi Bersatu mengambil masa lebih panjang jika dibawa ke mahkamah.
“Keputusan kekosongan kerusi terletak pada tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, jika ada pihak tidak puas hati mereka boleh mencabarnya menerusi saluran undang-undang.
“Apatah lagi ia melibatkan proses teknikal undang-undang yang perlu dijelaskan bermula dari Mahkamah Tinggi. Jika ada lagi pihak tidak puas hati, ia boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya Mahkamah Persekutuan, jadi ia mengambil masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, enam ahli Parlimen dan satu ADUN Bersatu bertindak menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri antaranya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.
Dua minggu lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keahlian semua wakil rakyat terbabit terlucut jika gagal menjawab surat yang dihantar pihaknya dalam tempoh 14 hari yang berakhir hari ini.
Menurut Nik Ahmad Kamal, terdapat pelbagai persoalan bakal timbul sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah termasuklah sama ada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh dicabar atau sebaliknya.
“Ini kerana sebarang keputusan Speaker mendapat imuniti di dalam Akta Parlimen. Jadi, persoalan undang-undang sebegini memerlukan tafsiran mahkamah dan mungkin berdepan masa sehingga setahun atau dua tahun atau lebih,” katanya.
Katanya, Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan hanya menjelaskan dua keadaan seseorang wakil rakyat itu telah lompat parti iaitu ahli Parlimen keluar daripada parti dan ahli Parlimen Bebas sertai mana-mana parti serta tidak menyebut mana-mana ahli parlimen dipecat parti.
Beliau menjelaskan, tafsiran undang-undang itu dan Perlembagaan Bersatu membabitkan pelucutan serta-merta keahlian wakil rakyat yang bertentangan dengan arahan parti perlu diambil kira sebelum memutuskan kekosongan kerusi atau tidak.
“Dalam soal ini, akhirnya kata putus adalah daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana Perlembagaan Persekutuan menyebut hanya beliau yang memutuskan mereka melompat parti atau tidak yang sekali gus membuka laluan kepada pemecatan ahli Parlimen dan PRK.
“Jika ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membawa ke mahkamah untuk melihat tafsiran undang-undang lompat parti. Memandangkan ia pertama kali berlaku dalam sejarah negara, jadi wujud banyak persoalan undang-undang perlu diteliti,” katanya. – UTUSAN











