85 tahun Utusan Melayu jasanya setinggi gunung

85 tahun Utusan Melayu jasanya setinggi gunung

PENERBITAN akhbar Utusan Malaysia diyakini terus berdaya tahan dan mampu menarik setiap golongan pembaca termasuk generasi muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Tidak ramai menye­dari tarikh keramat kelahiran Utusan Melayu yang menginjak usia 85 tahun kelmarin.

Akhbar tertua berbahasa Melayu ini yang terbit kali pertama pada 29 Mei 1939 di Singapura mempunyai jasa serta legasi amat besar kepada orang Me­layu seperti pembakar sema­ngat kemerdekaan dan tetap relevan dalam meniti arus zaman.

Cabaran terbesar Utusan Melayu, kini Utusan Malaysia adalah mendapatkan pembaca tegar generasi muda kerana golongan tua peminat tegarnya semakin mengecil setiap hari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Melayu Antarabangsa, Datuk Dr. Aripin Said bimbang dengan masa depan akhbar itu yang semakin getir bersaing dengan ‘wartawan bebas dalam talian’ yang tiada integriti.

Katanya, beliau terlibat de­ngan akhbar ini lebih 20 tahun sebagai wartawan sambilan dan kolumnis di Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu sejak 1970.

“Tarikh kelahiran Utusan Melayu pada 29 Mei kebetulan bertepatan dengan tarikh kematian seniman agung Tan Sri Dr. P. Ramlee yang tidak dipedulikan peminatnya sendiri pada usia tua.

“Namun saya optimis Utusan Malaysia terus berdaya tahan dan mampu menarik pelbagai golongan pembaca termasuk generasi muda melalui pelbagai strategi seperti Utusan Masuk Sekolah dan sokongan pelbagai pihak terhadap akhbar ini yang membawa ‘Pemikiran Baharu’,” katanya.

Aripin yang juga Tokoh Budaya Orang Hidup Kebangsaan berharap orang Melayu pelbagai status sosial iaitu petani, pene­roka, nelayan dan cendia­kawan melanggan Utusan Malaysia.

“Saya menjadi pemberita sambilan semasa di Maktab Perguruan Kuantan selain menulis rencana di Utusan Melayu, Mingguan Malaysia serta Utusan Zaman semasa menjadi guru di Terengganu, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

“Saya juga bersama Pak Matlob dan Munir Ghazali mengendalikan Semarak Jawi berikutan ramai generasi muda buta jawi. Saya turut diamanahkan me­ngendalikan Kempen Sastera dalam Seminar Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) untuk Tingkatan 5 seluruh negara dan membawa Utusan Malaysia sebagai bacaan pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini