PETALING JAYA: Generasi muda Malaysia mempunyai tugas dan tanggungjawab besar mendepani era baharu memandangkan Malaysia sudah beralih daripada teknologi lama kepada era kecerdasan buatan (AI) dan digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau melihat para belia mempunyai potensi besar untuk mengangkat martabat tanah air ke satu tahap lebih hebat.
Justeru, beliau berharap generasi muda menggarap sikap positif dan beretika dalam diri masing-masing.
“Generasi muda mempunyai potensi dan tanggungjawab yang besar kerana Malaysia (kini) mempunyai tanggungjawab, sudah beralih daripada teknologi lama kepada teknologi digital, AI.
“Sementara itu harus memartabatkan sebagai insan dengan nilai akhlak dan etika. Ini tanggungjawab yang harus kita bina.
“Saya mempunyai keyakinan dengan anak-anak mempunyai minat yang sama menimba ilmu, memperbaiki akhlak dapat mengangkat Malaysia ke martabat lebih hebat,” katanya dalam satu program Wawancara #JrReporter Bersama Perdana Menteri yang disiarkan oleh Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Perlis hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau melihat penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 dapat mengajak minat membaca dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda sepertimana gagasan Konsep Malaysia Madani iaitu Memperkasa Rakyat.
Katanya, program itu adalah satu peluang untuk semua masyarakat bukan sahaja membeli namun membaca semua buku.
“Pesta buku kali ini menunjukan sambutan luar biasa, hangat ketimbang (berbanding) tahun sebelumnya sama ada kehadiran dan pembelian.
“Tentunya dalam konsep Malaysia Madani iaitu memperkasa rakyat dengan penambahan dan penguasaan ilmu yang pelbagai, jadi kalau buku-buku dikaitkan dengan ilmu dan menanam minat membaca, Insya-Allah akan tercapai,” katanya. – UTUSAN











