Ekstremisme mesti dihentikan

Ekstremisme mesti dihentikan

SEMUA pihak perlu bergandingan dalam menangani ekstremisme melalui pendekatan yang lebih holistik. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PROGRAM Permukiman Syariah Amanah Nasional (PAKSI 01) Biro Hal Ehwal Syariah Parti Amanah Negara (Amanah) menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua anggota polis yang terkorban dalam tragedi serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu.

Biro Syariah berpandangan mana-mana individu atau kumpulan yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut mesti dikenakan tindakan yang tegas dan dibawa ke muka pengadilan untuk diadili dengan sewajarnya.

Kami juga berpandangan cetusan peristiwa ini berkemungkinan adalah akibat daripada pemikiran ghuluw dan takfiri di negara ini yang semakin berkembang serta sangat membimbangkan. Sekiranya pemikiran dan gerakan ghuluw ini tidak disekat, kehidupan yang harmoni akan terancam juga keamanan negara boleh tergugat.

Sikap menganggap orang lain yang tidak sealiran dengan kelompok sendiri sebagai musuh dan layak diperangi merupakan elemen yang tidak sepatutnya wujud dalam persekitaran kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

Justeru, Biro Syariah Amanah mengajak masyarakat supaya lebih rasional dan membuang sifat kebencian melampau terhadap sesuatu puak atau kaum semata-mata kerana tidak sehaluan apalagi sealiran dengan kehendak mahupun pemikiran sendiri.

Semua pihak perlu bergandingan dalam menangani ekstremisme ini melalui pendekatan yang lebih holistik iaitu dengan memahami Islam secara menyeluruh dan mendalam supaya tidak menyeleweng daripada landasan sebenar agama.

Dalam usaha untuk membina masyarakat yang beradab dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi, kita perlu menormalisasikan gaya hidup Islam sebenar berteraskan konsep al-wasatiyyah. Nilai ini wajar diketengahkan sebagai langkah preventif sebelum fahaman ekstremisme menjalar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara di negara ini.-UTUSAN

PEMUKIMAN BIRO SYARIAH
AMANAH NASIONAL (PAKSI 01)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×